Kenapa Polis Pertahankan BN

Thursday, 21 July 2011

Seorang kawan warga UK menjadikan Malaysia sebagai negara untuk dia menghabiskan sisa-sisa tuanya. Dia membeli sebuah banglo di Shah Alam melalui program 'beli rumah kedua' yang menawarkan kepada orang luar untuk membeli rumah mewah mereka di negara kita.

Dua hari lepas saya sempat berbual petang di rumahnya di Shah Alam. Dah lama tak jumpa jadi banyak perkara yang diperbualkan termasuklah isu paling hangat tentang suasana politik negara dan juga masalah rasuah yang kronik.

Dia menceritakan pengalamannya memecut di lebuh raya kerana mengejar untuk sampai awal ke destinasi. Separuh jalan dia ditahan polis. Rupanya ada perangkap had laju. Kereta Merz E Class nya diarahkan ke tepi.

Dia yang memang akur dengan kesalahnnya memecut lalu membuka tingkap dan memohon agar polis menyegerakan memberi saman kepadanya untuk dia meneruskan perjalanan. Tetapi amat malang apabila pegawai polis yang menahannya asyik ulang perkataan "we can discuss", dan masih tak menulis kertas saman.

Dia bertanya apa yang nak diperbincangkan, saya memang salah dan tolong berikan saman saya segera. Pegawai itu lalu menyuruhnya bertemu pegawai atasannya. Dia mengulang perkara yang sama dan berkata sila berikan saman. Malangnya pegawai atasan tersebut menasihatinya agar selesaikan sahaja di situ, tak payah perpanjangkan saman tersebut.

Kawan saya yang mula faham bahawa mereka mengharapkannya menghulurkan wang bagi melepaskan saman lalu berkata yang dia tidak akan memberikan wang pada pegawai yang telah digajikan oleh kerajaan Malaysia untuk melaksanakan tugas.

Jika dia hulurkan wang, ia akan masuk ke dalam poket polis tersebut dan itu kerja yang keji, tegasnya. Mereka berbincang panjang untuk memujuknya dan akhirnya dia dilepaskan tanpa dikenakan apa-apa saman. Bertambah pening Mat UK itu dibuatnya.

Saya menjadi malu mendengar ceritanya bagaimana polis kita sudah tidak segan silu memohon duit pada orang luar yang bukan rakyat Malaysia. Bukankah itu kerja keji yang mahu menjatuhkan nama negara  di mata dunia.

Kalau BN sering menuduh pihak pembangkang memburukkan nama Malaysia di luar negara, mereka sebenarnya tak sedar bahawa beribu-ribu orang sedang memburukkan nama Malaysia di dalam negara sendiri.

Mungkin kerana pihak polis melihat BN mesra rasuah lalu mereka tanpa berbelah bagi mempertahankan ketuanan BN menguasai negara kita. Mereka pasti risaukan peluang untuk mereka buat duit lebih jika negara bertukar pemerintah.

Tetapi sebenarnya, walaupun PR menguasai negara, saya yakin bukan senang untuk mengubah tabiat makan rasuah yang sudah berurat daging dalam masyarakat kita sehinggakan hilang rasa malu pada warga luar. Ia sudah tentu akan mengambil masa yang lama.

Jika kepimpinan dari peringkat tertinggi menolak segala unsur-unsur syubhat dan rasuah serta memerintah dengan penuh berintegriti, lambat laun sudah tentu ia akan dituruti sehingga ke peringkat bawahan. 
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License