Baru selesai baca buku yang bertajuk seperti di atas. Satu maklumat menarik tentang bagaimana seorang yang berlatarbelakangkan agama melibatkan diri dalam politik dan menggunakan landasan Umno sebagai perjuangan.
Bagaimana kegigihan Dato'Dusuki mengubah dirinya dengan menuntut ilmu merupakan sesuatu yang perlu diteladani oleh semua orang terutamanya golongan muda. Liku dan ranjau yang ditempohinya merupakan salah satu faktor yang meletakkan dia pada tempatnya.
Dia melakarkan cabaran yang dihadapi oleh golongan pelajar agama pada masa lalu yang menjadi golongan kelas kedua dalam pasaran kerja di negara kita dan atas semangat mahu membuktikan bahawa pandangan tersebut salah maka dia berusaha gigih menggunakan segala kesempatan yang ada.
Agak janggal seorang yang sejarah keturunannya dilingkungi oleh tok-tok guru pondok di Kelantan masuk Umno, menambahkan lagi pelik kerana dia juga menyambung tradisi keilmuan agama, kebiasaannya orang seperti dia akan lebih selesa dengan Pas atau menjadi seorang yang berkecuali dan tidak aktif dalam politik.
Alasan yang diberikan oleh Dato' Dusuki ialah dia melihat keperluan untuk berjuang dalam Umno bagi menagkis tohmahan Pas terhadap Umno.
Baginya perjuangan bangsa Melayu tidak lari daripada perjuangan Islam kerana bangsa Melayu adalah kaum utama yang memikul amanah bagi menaikkan Islam di Malaysia, jika maju bangsa Melayu maka majulah Islam.
Saya melihat sebab utama Dato' Dusuki masuk Umno adalah kerana Arwah ibunya, yang bercerai sejak Dato' Dusuki kecil merupakan orang kuat Umno. Ibunyalah yang menjadi faktor kenapa dia masuk dan berjuang dalam Umno.
Segala alasan yang diberikan oleh penulis dalam bukunya kenapa dia memilih Umno sebenarnya datang kemudia sebagai penyedap hati bagi membenarkan keputusannya.
Bukunya ini amat menarik untuk dibaca sebagai maklumat ringkas perjuangan golongan agama dalam politik tanah air. Kisah Anwar Ibrahim, pengasas ABIM ada dimuatkan di dalamnya.
Penulis ada menimbulkan satu soalan yang menarik ketika menceritakan saat kemasukan Anwar ke dalam Umno di mana ia merupakan satu kelegaan kepada golongan agama dalam Umno yang terlepas dari bahana serangan ABIL dan Anwar yang tidak henti menyerang pimpinan UMNO.
Penulis cuba bayangkan jika ketika waktu itu Anwar Ibrahim masuk Pas mungkin Umno tidak lagi menjadi Parti pemerintah sekarang ini, mungkin Pas merupakan Parti pemerintah sekarang. Ia menggambarkan betapa penulis mengakui kehebatan Anwar ketika zaman mudanya dulu.
Sebagaimana tulisan veteran Umno yang lain yang menulis buku seperti Tok Mat dan lain-lain, mereka tidak dapat lari daripada membuka pekong di dalam parti Umno sekarang yang menyentuh keegoan pemimpin muda Umno sekarang dan keterlibatan golongan peniaga dalam parti yang berebut menjadi pemimpin bahagian dan juga kawasan kerana ia manjanjikan pulangan yang lumayan.
Beliau mengeluh dengan sikap tersebut dimana pemimpin lebih mementingkan kemenangan dan kedudukan mereka di dalam parti daripada mementingkan kemenangan parti dalam pilihan raya, itu merupakan satu masalah besar dalam Umno akibat dari berorientasikan material.
Cuma satu yang saya tidak bersetuju dengan penulis apabila dia sering mengulangi ayat bahawa Pas menggunakan Islam sebagai alat bagi mencapai matlamat. Beliau juga menyebut Anwar dan juga ABIM menggunakan Islam sebagai alat bagi mencapai tujuan mereka.
Penulis tidak pula mengulas apakan tujuan yang ingin dicapai oleh Pas atau ABIM ketika menyebut ayat sebegitu. Ulasan sebegitu sering digunakan oleh para pemikir liberal yang juga menuduh benda yang sama bahawa para pejuang agama menggunakan Islam sebagai alat mencapai tujuan mereka.
Jika para pejuang agama tidak menggunakan Islam sebagai landasan bagi menegakkan Islam, mereka nak guna apa lagi?, sedangkan mereka amat fanatik dan 100% mempercayai bahawa Islam adalah jalan penyelesaian yang terbaik dan merupakan sebaik-baik amalan kehidupan.
Sudah tentu tidak salah menggunakan hujah dan segala suruhan dalam Islam bagi menegakkan Islam, keperluan menegakkan atau berdakwah kepada Islam adalah datang dari ajaran islam sendiri jadi tidak timbul isu menggunakan Islam sebagai alat mencapai maksud.
Cuma dalam hal individu, sudah tentu ada kemungkinan mereka yang menjadikan Islam bagi mencapai maksud peribadi mereka seperti mendapatkan kedudukan, mendapatkan harta atau wanita, namun siapalah yang mampu menerobos hakikat sebenar yang berlubuk di dalam hati setiap manusia, kita setakat mampu menghukum berdasarkan kukum terang dan nyata.
Itu tidak bermakna kita boleh bakulkan semua dengan merumus bahawa Pas menggunakan islam sebagai alat mencapai maksud buruk, begitu juga ABIM dan golongan-golongan seumpama dengannya.
Ayat sebegitu mungkin sesuai digunakan kepada mereka yang menggunakan bangsa sebagai alat mencapai matlamat politik mereka seperti untuk terus berkuasa dan mengumpul harta dan sebagainya, walaupun begitu sudah tentu ramai yang akan melenting jika kita berkata demikian.
Kita juga dapat melihat bahawa bagi mereka yang berjuang agama yang masuk ke dalam Umno, mereka tidak mungkin akan dapat menjadi ketua sehingga keperingkat tinggi. Mungkin kerana sikap atau ajaran Islam yang menghalang mereka untuk naik ke atas.
Mereka hanya akan sekadar menjadi pekerja atau orang bawahan yang bekerja untuk pemimpin tertinggi. Ini merupakan satu perbezaan besar di antara Pas dan Umno dimana perkara sebaliknya berlaku di dalam Pas.
Banyak lagi perkara menarik tercatat dalam buku ini, untuk mengetahuinya eloklah beli dan baca.
No comments:
Post a Comment