Misteri PRU 13: Awal Jun atau tahun 2013?

Saturday, 31 March 2012

Coretan Mujahid Yusuf Rawa:

Soalan ini hampir menjadi soalan bonus di mana sahaja saya pergi. Bangun pagi berjogging di Dataran Sungai Kerian pasti akan ada pengunjung yang bertanya, pergi ke Pasar Pekan Parit Buntar penjual sayur dan ikan bertanya, di Pejabat Pusat Khidmat pelanggan yang datang akan bertanya dulu soalan ini sebelum mengadu masalah hinggalah di ruang solat surau di taman rumah saya, ahli jamaah pasti akan bertanya bilakah tarikh PRU ke-13? 

Saya sendiri selaku ahli politik tidak tahu jawapannya apatah lagi rakyat umum dan inilah uniknya Malaysia dalam konteks demokrasi di mana tarikh PRU menjadi misteri hingga hari ini. Sesuatu yang misteri memang diminati kerana misteri adalah teka-teki dan kekaburan yang menggoda seseorang untuk merungkaikan dan mencari jawapan.


Ini adalah taktik para pengeluar filem selama ini untuk meraih untung yang besar kerana lagi saspen (misteri) sesuatu jalan cerita lagi bermutu filem tersebut. Tapi malangnya yang kita perkatakan ini bukan filem tetapi ketelusan sebuah demokrasi yang asasnya ialah mencipta satu padang permainan yang sama rata. 

Salah satu cara untuk menunjukkan ianya satu permainan yang adil ialah ketetapan awal tarikh PRU dengan bermulanya penggal baru sesuatu pilihanraya. Kalau misteri sesebuah filem dikagumi tetapi misteri tarikh PRU adalah sesuatu yang memualkan kerana ia mencacatkan demokrasi dari awalnya lagi. 

Walaupun PRU di Malaysia lima tahun sekali namun secara praktiknya ia tidak semestinya berlaku demikian kerana genap tiga tahun sesuatu penggal sudah layak PRU seterusnya diadakan, jadi genap tiga tahun hingga lima tahun, rakyat Malaysia pasti akan bercakap tentang tarikh PRU yang penuh dengan misteri itu. 

Sehubungan dengan tarikh PRU ini teringat saya semasa di Palembang baru-baru ini, saya bertemu dengan salah seorang ahli Parlimen dari Republik Chad (salah satu negara di benua Afrika) yang begitu mengkagumi Malaysia dan kemajuannya.

Saya sudah tentu berbangga sebagai perwakilan Parlimen Malaysia dalam sidang Kesatuan Parlimen Negara OIC. Lalu dia bertanya tentang proses PRU dan tarikh pilihanraya. Saya secara jujur mengatakan tarikh tidak dimaklumkan awal, ia hanya ada dalam benak PM yang memerintah hari itu, lalu rakan Ahli Parlimen saya ini menjadi terkejut kerana menyangka Malaysia juga turut maju dalam konteks tarikh pilihanraya dimaklumkan lebih awal seperti negara maju yang lain.

Republik Chad lebih ke depan dari Malaysia dalam demokrasi

Paling memalukan saya ialah apabila dia menyatakan mereka di Republik Chad mengamalkan makluman awal tarikh PRU akan datang sejurus bermulanya penggal baru Parlimen! Kita perlu meningkat seiring dengan kemajuan yang dikecapi khusus dalam proses mempertingkatkan ruang demokrasi dan ketelusan, antaranya ialah pengumuman awal tarikh PRU supaya tidak berlaku permainan yang berat sebelah dalam persediaan PRU.

Perlu dijelaskan di sini isunya bukanlah sangat ketetapan tarikh PRU kerana SPR akan melakukan pengisytiharan tersebut selepas Parlimen dibubarkan tetapi persoalannya ialah pembubaran Parlimen, bilakah Parlimen akan dibubarkan.

Pembubaran adalah jawapan kepada misteri ini kerana sejurus dibubar akta pilihanraya menetapkan bahawa tarikh melakukan PRU ialah 60 hari dan dengan melihat trend berkempen tujuh hari, kita dapat menjangka tarikh PRU.

Jadi persoalannya ialah bilakah Parlimen akan dibubarkan? Satu lagi faktor yang mempengaruhi ketentuan tarikh PRU ialah keadaan ekonomi yang dilihat sebagai indikator penting bagi BN kerana ia akan memberi kesan kepada kehidupan orang ramai yang akan mengaitkan kegagalan parti pemerintah mengurus negara. 

Dalam hal ini rakyat akan diberikan gambaran seolah-olah keadaan ekonomi negara terkawal dengan baik walaupun keadaannya membuktikan sebaliknya, ini yang selalu disebut sebagai "the feel good factor". 

Berpandukan kepada trend yang lampau, semua gula-gula yang disampaikan diharapkan dapat memberi imej yang baik kepada kerajaan, contohnya ialah BR1M dan bantuan yuran sekolah serta kenaikan 13%-7% pelarasan gaji kakitangan awam yang penuh kontroversi itu. 

Kerajaan juga harus membuktikan komitmennya untuk menangani salahguna dana awam dengan tegas dan ini dibuat melalui pendakwaan ke atas Pengarah syarikat NFC yang didakwa atas pecah amanah peruntukan RM250 juta untuk projek Fidlot Nasional. 

Berdasarkan kepada perkembangan ini, bagi menunjukkan BN bersih, maka pembubaran Parlimen dijangkakan akan berlaku pada penghujung April lalu membuka jalan untuk pencalonan pada 27 Mei dan pengundian pada 3 Jun.

Satu lagi faktor ialah kadar serangan yang dibuat ke atas pembangkang, semakin dekat PRU semakin kuat serangan dibuat ke atas pembangkang dan kepimpinannya. Isu Anwar Ibrahim walaupun telah melepasi dugaan-dugaan kes liwat 1 dan 2, kini mereka menyerang Ketua Pembangkang itu dengan tuduhan bi-seksual dan saya yakin ia akan menjadi trumpet yang akan ditiup semasa kempen nanti. 

Begitu juga dakwaan pro-Israel dan Liberal dalam pegangan agama akan menjadi peluru-peluru terhadap Pakatan Rakyat. Mereka lakukan demikian untuk meraih simpati undi Melayu dan Najib akan berpuas hati apabila sokongan undi Melayu meningkat dan ketika itu mengisytiharkan pembubaran Parlimen. 

Untuk menyerang PAS, mereka sudah mempunyai ayam tambatan iaitu JATI melalui Hasan Ali yang akan terus mendedahkan penyelewengan PAS. DAP akan senantiasa dilabel sebagai anti Melayu dan Islam khususnya di Pulau Pinang. 

Isu-isu teknikal dan pengurusan pentadbiran akan dikaitkan dengan dasar anti Melayu dan Islam oleh UMNO Penang dan terus mengelirukan orang Melayu tentang peranan PAS dan PKR. Melihat kepada kadar intensiti serangannya kali ini, PRU pada awal Jun tidak dapat dielakkan lagi kenyataannya. 

Walaupun tidak semua faktor dapat dikawal, namun BN mempunyai "tilam empuk" untuk menerima suasana-suasana yang tidak berpihak kepadanya, antaranya ialah manipulasi media, manipulasi bajet dan manipulasi alat demokrasi berpilihan raya sendiri iaitu SPR.

Tilam empuk ini tidak lagi semudah yang dijangka kerana media alternatif dari media sosial kini bercambah, rakyat lebih bijak dan desakan masyarakat sivil berserta parti politik yang prihatin mendesak proses demokrasi berpilihan raya dipantau, diolah dan dibaikpulih.

Segala perkembangan ini menjadikan keberlangsungan BN dalam persada politik tanahair menjadi semakin sukar. Ia juga petunjuk kepada lahirnya lanskap baru dengan pemain baru yang diharapkan menjadi pemangkin ke arah transformasi negara yang lebih tulen. 

Kini semua petunjuk kepada PRU menjurus kepada awal Jun, ini memandangkan jika tidak dilakukan pada awal Jun yang juga merupakan cuti pertengahan tahun sekolah, ia terpaksa dilakukan pada awal tahun hadapan iaitu tempoh maksima tamat penggal parlimen.

Selepas Jun, sidang Parlimen bermula Julai dan selepas Julai umat Islam akan berpuasa dan September umat Islam akan menunaikan Haji. Ada kemungkinan ia akan diadakan pada November, namun, jangka itu telah memasuki pembentangan bajet yang akan dibentangkan pada Oktober. 

Jadi jikalau kita mengandaikan PRU akan berlaku tahun ini, ia mesti dilakukan pada Jun, jika tidak, hanya Najib yang tahu kunci kepada misteri ini. 

*Dr.Mujahid Yusof Rawa adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS. sumber
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License