Buang nama Islam dari PAS - Harussani toksah masuk campur hal politik

Monday 14 May 2012

Dari penulis jemputan: Utusan Meloya Meloya

Aku selalu dok terfikir soalan tentang penggunaan nama Islam atas perkara dunia. Banyak orang menggunakan nama Islam dalam aktiviti perniagaan mereka. Pernah satu ketika dahulu sebuah syarikat mempromosikan selipar dengan mengaitkannya dengan nama Islam. Kononnya selipar itu menepati sunnah iaitu bentuk selipar yang dipakai oleh Nabi.

Ada juga syarikat yang berura-ura mengeluarkan nama Kereta Islam yang direka khas mempunyai ciri-ciri yang cocok untuk umat Islam. Ada jam tangan Islam, ada kem motivasi Islam, ada pusat perubatan Islam, ada bomoh Islam, ada hospital Islam, ada Restoran Islam, dan yang paling terkenal adanya sebuah parti politik yang menggelarkan diri mereka sebagai Parti Islam.


Menyentuh persoalan Pas, aku sering bertanya adakah Pas menggunakan Islam untuk politik atau adakah Pas menggunakan politik untuk Islam. Di kalangan ahlinya pulak adakah ahlinya menggunakan Islam untuk menjadi ketua atau adakah mereka menjadi ketua untuk Islam. Di kalangan penyokongnya pulak adakah mereka menggunakan Pas untuk Islam atau mereka menggunakan Islam untuk Pas.

Semua itu terfikir bila aku sering melihat ramai ahli Pas yang tertipu dengan mereka yang berserban besar, yang pandai bercakap, yang banyak menghafal ayat-ayat Quran dan Hadith tetapi hakikatnya pendendam, pemarah, tidak pandai mengurus, tamak haloba penipu dan berbagai lagi, namun orang seperti itulah juga yang berjaya mengkelabukan ahli-ahli untuk dilantik menjadi ketua.

Mungkin itu juga yang difikirkan oleh Tan Sri Harussani yang tiba-tiba jadi garang dan menurut nasihat Ibrahim Ali agar membawa perkara penggunaan nama Islam dalam politik Pas ke muzakarah Majlis fatwa Kebangsaan.  Harussani kata Pas dan meleset dari landasan perjuangan mereka, terutamanya apabila menyertai Bersih 3.0

Kalau atas alasan Bersih 3 nak lucutkan perkataan Islam daripada  Pas, nampak sangat ada unsur-unsur nak jadi balaci Umno. Apatah lagi Harussani nampaknya mendengar nasihat perkumpulan ekstrim seperti Perkasa itu yang terang-terang merupakan sub-kontraktor kepada Umno bagi memperjuangkan hal ehwal orang Melayu.


Nik Aziz gesa Harussani tidak campurtangan urusan politik

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nuk Mat menggesa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar tidak mencampuri urusan politik jika mengambil pendekatan serong terhadap pendirian dan matlamat perjuangan parti Islam yang diterajuinya.
Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan Harussani perlu berfikir secara rasional dan waras dan melihat kepada kebenaran.
Dalam laman sosial Facebook miliknya, Nik Aziz (gambar) berkata, “mufti sebaiknya tak payah masuk campur soal parti politik lah kalau begitu serong terhadap PAS. Bila nak nilai dasar dan perjuangan parti Islam seperti PAS, kena baca sejarahnya.
Kerana asal tertubuhnya PAS adalah terlibat sama ‘orang Umno’ yang melihat Umno tak mampu berjuang Islam.”
Harussani sebelum ini berkata perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.
Dipetik Berita Harian Online, beliau bersedia mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.
“Perjuangan parti itu semakin jauh menyeleweng daripada matlamat asal untuk menegakkan Islam yang direncanakan sejak lebih enam dekad lalu,” katanya yang juga ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.
Menurut Nik Aziz lagi, Harussani tidak memahami matlamat penubuhan dan perjuanagan PAS.
“Nampak sangat mufti tu tak baca sejarah,” katanya lagi.
Status dari Facebook milik Nik Aziz itu telah mendapat respon dan komen balasan dari 236 individu dengan 2,918 individu “suka” terhadap status tersebut.
Tambah pemimpin veteran PAS ini lagi, mufti Perlis itu juga perlu memahami kitab karya Ketua Majlis Ulama Sedunia, Dr Yusof Al-Qaradawi yang menyokong demonstrasi di Dataran Tahrir, Mesir walaupun mufti negara tersebut menentang penganjuran demonstrasi tersebut.
“Kemudian baca jugalah kitab Dr Yusof Al-Qaradawi, Ketua Majlis Ulamak Sedunia yang sering memberi pandangan menguntungkan perjuangan Islam.
“Sebagaimana perhimpunan rakyat Mesir di Medan Tahrir, Dr. Yusof Qaradawi menyokongnya bagi memerangi kemungkaran kerajaan walaupun ia ditentang oleh mufti Mesir sendiri,” tegasnya.
Justeru, beliau menuntut agar Harussani “berfikirlah dengan kebenaran bukan kewarasan tanpa kebenaran.”
Harussani dilihat mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah untuk membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.
Beliau turut menggesa ahli dan penyokong fanatik dan taksub PAS agar segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras.
“Gunakan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir... sama-sama memahami isi kandungan al-Quran, jangan hanya tahu mengutuk. Banyak sangat PAS menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik demi mendapatkan kuasa, pengaruh, kedudukan dan kerusi,” katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perpecahan umat Islam kerana sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.
Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan Bersih 3.0, Harussani berkata, ia tidak dibuat sebelah mata seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, termasuk Nik Aziz.
Sebaliknya, keputusan itu dicapai selepas perhimpunan Bersih 3.0 tidak lagi bersih kerana menceroboh kawasan larangan, selain mendatangkan kekacauan dan kecederaan kepada pihak berkuasa dan orang awam.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License