Perhimpunan agung Umno kali ini melakarkan sejarahnya yang tersendiri. Belum pernah berlaku dalam sejarah Umno kelihatan amat takut dengan pilihanraya umum. Mereka pada masa lalu amat bongkak malah sebelum-sebelum ini ada yang bangun dengan sombong melaungkan slogan 'zero pembangkang'. Antara yang paling bersungguh melaungkan slogan 'zero pembangkang tersebut adalah bekas Menteri Besar Selangor Mohamad Khir Toyo, dan lihatlah apa yang berlaku pada nya, dia yang hampir menjadi 'zero' sekarang ini.
Ketakutan mereka kali ini jelas kelihatan dalam ucapan-ucapan pemimpin nombor satu dan juga nombor dua Umno. Sebagaimana yang semua orang tahu, senjata paling popular ketika menghadapi tekanan daripada pesaing mereka yang semakin kuat, Umno tidak ada pilihan lain selain daripada menggunakan senjata Islam dan juga Melayu.
Sebenarnya senjata Islam dan juga Melayu digunakan Umno dalam segala lapangan. Misalnya dalam urusan mendapatkan projek kekayaan serta pangkat sesama kroni mereka, senjata yang sama jugalah digunakan bagi menghalalkan usaha tersebut yang mana akhirnya memang berjaya membawa kepada terhasilnya segelintir Melayu Islam yang teramat kaya raya sekelip mata dan hidup mewah seperti dewa, dan yang lebih penting sekali mereka yang istimewa itu adalah segelintir kecil orang Umno.
Mari kita lihat 5 ungkapan pilihan desperado presiden Umno ketika menggulung berbahasan dalam perhimpunan agung Umno yang baru berlalu di bawah:
- Beringatlah...pilihanraya iniadalah paling getir dalam sejarah tanah air, pilihan yang dihadapkan kepada rakyat adalah pilihan titik penentuan sama ada kita mahu melihat masa depan yang cerah benderang bagi Malaysia yang maju dengan memilih Umno dan Barisan Nasional atau menempa jalan trajis penuh kehancuran dengan memilih pakatan pembangkang.
- Beringatlah juga...pilihan yang bakal dibuat kali ini bukan sahaja tentang Umno dan BN tetapi kemuncak kepada semua itu adalah untung nasib umat Melayu serta rakyat Malaysia keseluruhan, sama ada kita melukut di tepi gantang atau kita terus menerus mencipta kejayaan dan kemakmuran.
- Insaflah...insaflah saudara saudari andainya Umno tidak kita bela, andainya Umno kita biarkan, andainya Umno sudah tersungkur rebah dan andainya Umno lenyap, apakah masih terjunjung Islam yang suci?, apakah masih terpandang mulia orang Melayu, pakah masih disanjung raja-raja kita?
- Wahai orang-orang Umno. Bentenglah parti ini, dakaplah tokoh perjuangan ini walau apa aral yang mendatang, jangan sekali-kali kamu tinggalkan Bukit Uhud ini.
- Panji-panji telah kita kibarkan, alah undur, berpantang ajal, pertahankanlah ia, gendonglah ia hingga kudrat yang terakhir. Ayuh! ayuh! ayuh! semua ke medan perang. Insya-Allah kemenangan pasti milik kita. Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia!
Saya pasti semua yang hadir mendengar ucapan Najib di atas akan meremang bulu roma mereka dan berdegup pantas jantung mereka mengalirkan arus darah yang deras di segenap urat saraf mereka lalu teringin rasanya menghunuskan senjata merempuh ke medan perang bagi mencantas semua mereka yang bukan ahli Umno...tapi nanti dulu!
Ucapan bahawa Umno yang menjadi pemelihara Islam, Melayu dan Raja-Raja hanyalah ungkapan khurafat yang semua orang dah tahu. Ungkapan ini tidak tumpah seumpama ucapan penjaga kubur keramat yang didakwa mampu menyembuh segala penyakit dan berupaya mengkabulkan hajat.
Matlamat asal tukang jaga kubur hanyalah agar orang ramai tetap menziarahi bubur bagi mamastikan punca rezkinya tidak putus. Semakin ramai yang datang semakin mewahlah hasil kutipan yang diperolehinya.
Sebenarnya tugas memeihara Islam, Melayu dan kedaulatan Raja-Raja adalah tugas semua kerajaan yang memerintah tidak kira parti mana ia berada. Andai kata Umno atau Bn tumbang sekalipun dan Pakatan Rakyat naik memerintah, tidak akan berubah kedudukan Islam, keistimewaan Melayu dan kedaulatan Raja-raja melainkan semua majlis Raja-Raja sendiri yang mahu mengubahnya, bukan Umno, bukan Pas bukan PKR dan bukan mana-mana partipun. Itu semua termaktub dalam perlembagaan sudah lama.
Jika Umno benar-benar pembela orang Melayu, buktikan terlebih dahulu dengan memberikan hak royalti minyak kepada rakyat Kelantan, Bukankah dengan memberikan wang royalti tersebut sama dengan membantu sebuah negeri yang majoriti besarnya adalah orang Melayu. Namun ini tidak dilakukan, malah sebaliknya hak orang melayu kelantan dinafikan malah diejek-ejek kononnya tidak membangun dan tidak tahu memelihara negeri.
Namun begitu dengan segala kekurangan yang ada kerajaan Kelantan tetap utuh, tetap dibangunkan walaupun dengan kadar perlahan. Ini bukti bahawa Umno pengkhianat kepada Melayu Kelantan dan juga tanpa Umno, Islam, Raja-Raja dan Melayu di kelantan tetap utuh tidak tergugat. Apakah semua masih mahu percaya tanpa Umno, Islam, Raja-Raja serta Melayu akan hancur?
Lihat pula di Pulau Pinang yang sedang diperintah oleh musuh ketat nombor satu melayu Umno. Pulau Pinang tetap membangun di bawah pemerintahan Cina DAP malah jauh lebih baik daripada ketika diperintah di bawah budak Cina suruhan Umno daripada parti Gerakan dahulu. Peruntukan yang diberikan kepada umat Islam di sana pula ditambah jauh lebih tinggi berbanding dahulu dan tidak ada kedengaran umat Islam menjadi bangkai di sana. Sebaliknya mereka yang menjadi pengacau dan sering menimbulkan huru hara di Pulau Pinag adalah kebanyakannya penyokong tegar BN.
Tak perlulah diberikan contoh lagi bagaimana semua tahyul bahawa hanya Umno yang mampu memerintah Malaysia adalah terbukti salah dan satu penipuan politik yang mencabar kecerdasan akal rakyat Malaysia. Tidak usahlah Umno melaung-laungkan Melayu atau Islam untuk dijadikan sebagai benda tawanan serta ugutan kepada rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.
Apa yang Umno perlu sedarkan kepada semua ahlinya serta pemimpinnya adalah masa untuk berlagak menjadi dewa atau raja muda kesultanan Umno sudah berlalu. Kembalilah berpijak dibumi nyata, dan buanglah segala kesombongan kereta mewah, jam tangan mewah, rumah banglo mewah dan percutian mewah serta kedai minum mewah. Selagi itu semua masih ada, semua orang tahu bahawa pemimpin Umno pulun nak jadi pemimpin hanyalah semata-mata mahu mengekalkan kehidupan mewah tersebut.
Oh ya terlupa pulak nak sentuh cerita hanya satu keluarga Melayu sahaja di Malaysia ini yang tahu membela lembu untuk bekalan seluruh rakyat Malaysia. Betulkah tidak ada seorangpun Melayu yang pernah bela lembu dan tidak layak digarap menjadi usahawan lembu...?
No comments:
Post a Comment