Bagaimana Cara Meresap Ketika Dikepung

Sunday 16 October 2011

Cerita ini merupakan sambungan cerita 'Bagaimana Cara Menunggu Pencuri Tanpa Dapat Dikesan Oleh Mereka', yang mana perlu dibaca terlebih dahulu untuk memahami keseluruhan cerita.

Malam itu langit hanya dipenuhi bintang tanpa sedikitpun cahaya bulan. Di dalam suasana gelap gelita itulah saya dan 2 orang lagi rakan mengambil kerusi panjang dari rumah Pak Mae dan letakkannya di tengah rumpun pisang betul-betul berdepan dengan kepala simpang tiga masuk ke kampung.

Sebelah kiri kami ada belukar serta beberapa pohon kelapa yang diikuti dengan sebuah parit kecil. Sebelah belakang kami tanah lapang diikuti dengan rumah Pak Mae. Sebelah kanan kami jalan masuk ke kampung dipagari tembok sekolah sepanjangnya hingga ke belakang, ini jalan belakang kalau mahu ke Pekan Penanti.


Di depan kami pula jalan bertar yang merupakan laluan masuk utama ke kampung dari jalan utama. Jika ada kenderaan masuk tentu akan menyuluh tempat kami mencangkung atas kerusi tersebut. Setiap kenderaan yang sampai di simpang depan kami samada akan masuk ke kiri untuk terus masuk ke bahagian belakang kampung atau ke kanan untuk ke bahagian depan kampung.

Kami mula duduk di situ selepas pukul 12 malam tanpa berbicara, hanya mengelamun layan perasaan. Masing-masing dengan sepotong kayu dan sebuah lampu suluh kecuali saya yang hanya membawa sebilah kayu kandar padi yang diperbuat daripada kayu nipah sedepa panjangnya.

Tak berapa lama mengelamun, saya yang berada di tepi sekali sebelah kiri merasa ada orang datang berjalan dari arah belakang. Ada sebatang pelepah kelapa yang menghalang mereka terus masuk menuju ke arah bangku yang sengaja saya letak bagi melindungi kedudukan kami.

Saya berpusing tanpa syak sesuatu dan kelihatan 3 orang berjalan terhendap-hendap melencong sepanjang pelepah dan terus lalu di depan kami. Kalau saya jolok kayu kandar yang saya pegang itu tentu terkena mereka bertiga.

Saya buat selamba sahaja kerana sangkakan itu tentu Abang Rahim dan lain-lain yang kerjanya suka mengusik. Tetapi apabila mereka lintas depan kami seolah tak tahu yang kami berada di situ dan terdengar pula bisikan dari lembaga yang paling tinggi sekalai diantara mereka bahawa ada orang sedang berjaga di pintu masuk jalan utama, saya mula berdebar-debar dan takut.

Lembaga paling tinggi berada di depan sekali terbongkok-bongkok dan dua orang lagi yang lebih rendah masing-masing memegang beberapa peralatan yang saya nampak seperti besi cungkil serta pemotong besi. Sah mereka adalah kawaq yang kami tunggu-tunggu.

Kami bertiga saling berpandangan, saya memegang erat kayu kandar dan menunggu mereka benar-benar masuk ke kiri jalan terlebih dahulu sebelum bertindak untuk lebih mudah mengepung mereka. Tiba-tiba rakan sebelah saya membuka lampu suluhnya menghala ke atas pokok kelapa. "Buka buat apa?" bisik saya, "aku nak tutup" katanya gelabah.

Apapun ketiga-tiga kawaq terkejut dengan suluhan itu dan mereka tercegat berdiri merenung ke arah kami tidak bergerak-gerak. Saya terus terjun dari kerusi sambil laung " kawaqqqqqqqqqqqqqqqqqqqqq..." menuju ke arah mereka bertiga dengan kayu kandar batang nipah saya. Ketaq memang ketaq tapi lantaklah apa nak jadi jadilah nekad saya. Laungan dan serbuan yang sama diikuti oleh 2 orang lagi rakan di belakang saya.

Makin dekat menghampiri mereka, sedikitpun mereka tidak berganjak, sama ada mereka pakar Aikido atau mereka terkejut biawak tak tahu nak buat apa. Saya mula rasa cuak dan risau samada mahu terus mara atau tidak, tapi kaki terus melangkah dan mulut tak henti jerit kawaq, rupanya jerit kuat ni bantu bagi kekuatan dan semangat.

Dah betul-betul dekat dengan mereka, ketiga-tiga kawaq itu pusing dan terus cabut dengan laju sambil kami mengejar mereka. Memang lega rasanya mereka pusing dan cabut, jadi tak payahlah adakan adengan pertarungan pula dengan mereka. Kini kami sekadar lari hayun kayu dan jerit kawaq kuat-kuat saja...puhh lega!.

Ternyata para kawaq terkejut dan amat gabra apabila ketiga-tiga mereka terjatuh masuk parit sebaik saja pusing melarikan diri. Mereka terus lari meredah parit hingga ke hujung sambil saya mengekori dari belakang. Kampung dah mula riuh, geng kawalan lain turut sama jerit kawaq-kawaq walaupun mereka tak nampak kat mana kawaq. Kawaq dah masuk betul-betuk ke tengah kampung. Mereka dah terkepung.

Ada satu benda pelik saya perasan ketika mengejar sambil menjerit itu. Daripada 3 orang tiba-tiba tinggal dua dan kemudiannya tinggal seorang sahaja yang saya dapat jejak. Saya jejak yang paling tinggi sekali yang saya yakin dialah ketua.

Lariannya pantas memang amat mengkagumkan, ada gaya unta lariannya dan saya makin ditinggalkannya. Saya perasan dia membuka bajunya dan dibiarkan tercampak. Nasib baik ada kawan yang memang sentiasa stand-by kat tengah kampung dengan lampu suluh berkuasa tinggi. Sebaik saja sampai di kawasan itu dia hanya tegak dan menyuluh mengekori kawaq tersebut yang lari secara zig-zag teramat laju.

Saya perlahankan larian, memang kerja sia-sia kalau saya kejar juga, dia memang laju. saya biarkan lampu suluh mengejarnya dan seorang lagi kawan tengah membidik senapang patah mengekori kawaq tersebut. Dia menunggu sebelum membedilnya pada tempat yang paling selamat agar tak ada orang lain yang kena.

Kawaq meneruskan larian dengan laju menuju ke lorong sempit antara dua rumah batu. kalau lepas lorong tersebut dia akan berupaya keluar dari kampung ikut kebun getah di jalan belakang kampung. Hebatnya kawan saya Asri dalam bab tembak dengan senapang patah, dia menunggu hanya kaki kawaq sahaja yang kelihatan antara 2 dinding dan terus 'PANG!!!'...

Nak diringkaskan cerita, tembakan tersebut mengena. Peluru penuh bertaburan di betis kawaq yang meneruskan lariannya lalu terjatuh dikolam lama di belakang kampung. Leman yang seorang diri pusing dengan motosikal dari belakang kampung berjaya menangkapnya di situ sebelum penuh orang kampung datang.

Apa lagi masing-masing lepas geram dan mencuba kehebatan tumbukan serta terajang mereka pada kawaq yang dah lemah itu. Ketika saya sampai darah dah meleleh. Mereka ikat tali pada kedua tangannya dan mengheretnya ke tenpat yang ada cahaya. Ada yang menjerit-jerit "jangan bawa dia kena cahaya, nanti dia jadi kuat balik".

Teringin jugak saya nak bedik kepala kawaq tu tapi bila di bawa ke tempat terang, jatuh kesian pula saya padanya. Dia dah tua. lewat 50-an, kakinya memang tempang sikit sebab itu saya nampak dia lari macam unta dan paling utama dia lari kuat daripada saya, buat malu saja.

Saya memberi tahu pada yang lain ada 2 orang lagi yang masihberada di dalam kampung. Saya yakin mereka tak kemana kerana semua kawasan telah dikepung. Mereka meresap tiba-tiba. Saya membawa semua ke tempat terakhir dia menghilangkan diri dan semua mula mencari di segenap semak samun.

Panjang sangat pula...nanti sambung lain lah.

Selepas ini rahsia meresap kawaq terbongkar, saya dapat ilmu baru. 


Share on :

2 comments:

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License