Biro Tata Negara - Mengaku Saja La...!

Monday 30 November 2009


Biro Tata Negara atau ringkasnya BTN adalah sebuat agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Di tubuhkan pada tahun 1974 sebagai Unit Penyelidikan Belia di bawah Kementerian Belia. Kemudiannya di tukarkan kepada BTN dan di pindahkan ke bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1981.

Objektif BTN secara rasminya adalah:
- Menanam sifat patriotisme kepada rakyat.
- Menyuburkan sifat kecemerlangan warga Malaysia.
- Melatih pemimpin dan bakal pemimpin ke arah menjayakan pembangunan negara.

Tentu ramai yang berpengalaman mengikuti kursus atau kem bina negara anjuran BTN ini, terutamanya para pelajar universiti. Saya berpeluang mengikuti kursus BTN beberapa kali bermula ketika berada di sekolah menegah lagi.

Ketika di sekolah menengah dulu saya diberitahu yang saya antara mereka yang beruntung kerana dipilih mengikuti kursus tersebut. Kursus yang membangkitkan semangat patriotisme dan kesedaran memperbaiki diri menuju ke arah kecemerlangan. Ketika itu saya merasa amat berbangga sekali dan turut sama menyanyikan lagu "Anak kecil main api..." dengan kuat dan bersemangat.

Dengan mengikuti kursus tersebut, ia memantapkan lagi sikap kecurigaan saya terhadap bangsa selain dari Melayu (terutamanya Cina). Walaupun seseorang melayu itu tidak pernah mengikuti kursusu BTN, kalau dia membesar di kampung, dia tentu secara tidak di sedari di tanam dengan sikap berhati-hati terhadap bangsa Cina yang di tuduh cuba melenyapkan kekuasaan orang Melayu.

Itulah hakikat yang berlaku di serata kampung, walaupun kita biasa bergaul, berkawan bersama dengan bangsa lain, sikap curiga terhadap bangsa lain terutamanya Cina memang ada walaupun ada yang cuba menafikannya. Apabila kita masuk mengikuti kursus BTN, sikap itu akan menjadi satu perjuangan yang mengukuhkan lagi apa yang telah di serapkan oleh orang tua kampung dulu.


Sekarang ini saya sedar kenapa sikap perkauman ini di tanam kepada orang Melayu, untuk digunakan sebagai senjata ugutan bagi mengekalkan kuasa mereka yang sedang berkuasa. Selagi adanya perasaan curiga mencurigai antara berbagai bangsa di Malaysia ini, selagi itulah senjata ini berkesan untuk mengekalkan kekuasaan.

Robohnya sikap perkauman antara Melayu, Cina dan lain-lain di Malaysia bermakna kuasa politik Barisan Nasional akan tergugat, tiada lagi senjata ugutan separti menakutkan orang ramai dengan peristiwa 13 May dan lain-lain.

Melihatkan situasi percaturan kepimpinan negara kita sekarang ini, adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk kita menghilangkan semangat kebangsaan kita, kita tetap membezakan Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita tetap ada perasaan curiga antara satu sama lain. Di tambah pula dengan sistem persekolahan kita, struktur ekonomi kita, dan usaha-usaha seperti BTN ini semua hanya menyuburkan lagi keadaan curiga-mencurigai sesama kita.

Nampaknya kuasa Barisan Nasional akan lama lagi memeluk erat tampok pemerintahan negara kita Malaysia.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License