- Saya terbaca petikan daripada ahli falsafah terkenal Socrates ini ketika membaca buku tulisan S H Allatas yang bertajuk Sammy Velu vs Khir Toyo. Ayat dari Socrates itu membuatkan saya tergelak besar dek kelucuannya dan mungkin dek kebenarannya.
- Bagi kaum lelaki anda baca apa kata Socrates di bawah ini dan buatlah keputusan sendiri kebenarannya, begini katanya,:
- "by all means, get married, if you are lucky, you get a good wife, if not you become a philosopher..."
- Apa yang boleh kita faham dari ayat Socrates di atas antaranya adalah:
- Baranghkali itu merupakan salah satu sebab kenapa, Socrates menjadi ahli falsafah, dia mendapat isteri yang amat mencabar dan banyak kerenah.
- Socrates amat menggalakkan agar orang lelaki berkahwin walau dengan apa cara sekalipun, kerana tidak ada apa yang rugi, kalau isterinya baik, dia akan hidup aman dan kalau tidakpun dia akan menjadi pusat rujukan orang kerana akalnya akan ligat berfikir menyelesaikan masalah dengan isterinya hingga terjumpa berbagai hikmah tentang kehidupan, dia menjadi ahli falsafah.
- Masalah para suami yang berlaga angin dengan para isteri bukanlah perkara baru malah telah lama berlaku sejak zaman dulu lagi. Jadi apa yang nak dihiraukan, teruskan kehidupan dan rumuskan berbagai-bagai falsafah kehidupan. Bukankah kehidupan masyarakat bermula daripada rumah tangga.
- Ada sebuah buku mengenai masalah rumah tangga yang pernah saya baca menggambarkan betapa berbezanya cara pemikiran isteri dengan suami sehingga dia menggambarkan bahawa lelaki datang daripada planet Mars manakala wanita datang dari planet Venus.
- Buku yang menceritakan tentang perhubungan lelaki dan wanita atau suami isteri itu merupakan salah satu buku yang laris terjual sebanyak 7 juta naskah. Itu menjadikannya sebuah buku yang non-fiction paling banyak dijual dekad ini. Ini menggambarkan betapa masalah perhubungan suami isteri adalah masalah universal yang sentiasa mendapat perhatian masyarakat.
- Untuk keharmonian rumah tangga kita perlu terima hakikat bahawa lelaki dan perempuan tetap tidak akan sama cara pemikirannya dan penciptaan mereka sejak awal membuatkan mereka menjadi begitu.
- Jika kita mengimbau zaman lampau di mana manusia mendiami gua, kaum lelaki kerjanya adalah keluar dari gua masuk ke hutan mencari buruan bersama-sama rakannya dan kaum wanita setia menunggu suaminya membawa balik buruan. Ini bermakna memang kaum wanita kebiasannya akan sering ditinggalkan para suaminya.
- Kaum lelaki tidak akan keluar pergi berburu seorang diri kerana kalau berdegil juga alamat dia mati dibaham binatang buas. Ini membuatkan kerja berkumpulan sesama rakan mereka tidak dapat dielakkan. Dari situ juga membuatkan kaum lelaki meletakkan rakan-rakan mereka sebagai sesuatu yang amat penting dalam meneruskan kehidupan mereka.
- Apabila lelaki pulang membawa balik binatang buruan, ia akan diserahkan pada isteri untuk penyediaan makanan dan dia akan mengambil kesempatan itu untuk melepaskan lelahnya berehat.
- Kaum wanita pula yang sering ditinggalkan suami, sentiasa kesunyian kerana tidak ada teman menceritakan segala masalah yang dihadapi ketika ketiadaan suaminya. Apa yang kaum wanita harapkan adalah sekadar suaminya mendengar segala cerita yang mahu disampaikannya.
- Kaum lelaki pula secara semulajadinya sentiasa menganggap segala luahan cerita merupakan satu masalah yang perlu diselesaikan. Kaum lelaki sifatnya adalah sebagai penyelesai masalah sedangkan kaum wanita hanya sekadar mahu bercerita.
- Apabila isteri bercerita dan didapati tiada apa-apa masalah yang mahu diselesaikan maka kaum lelaki tidak mahu mendengarnya. Maka mulalah terjadi perlagaan angin. Isteri mengeluh kenapa suami tak mahu berbual mendengar ceritanya, dan suami pula mengeluh kalau dah tak ada masalah kenapa mahu cerita dan begitulah seterusnya tak habis-habis.
Falsafah menarik Socrates tentang kahwin
Friday, 6 April 2012
Labels:
# Kahwin
# Masyarakat
# Rumah Tangga
# Socrates
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment