Perlukah seorang Sultan memiliki WWW 1

Thursday 31 May 2012

Apa ke bendanya WWW 1 tu? apa istimewanya sampai dijual dengan harga RM520,000? Adakah WWW 1 juga punyai nilai komersial tinggi jika di bawa keluar dari Malaysia? Adakah WWW 1 mampu membuatkan seseorang menjadi hebat apabila dipasang pada plate keretanya. Banyak persoalan timbul bila rakyat Malaysia berebut membida hampir kesemua nombor plate kenderaan Wilayah Persekutuan yang kini telah sampai ke edisi WWW.

Jika dunia tidak mempunyai internet, WWW sebenarnya tidak ada apa-apa makna yang signifikan melainkan mungkin rupanya seperti bukit yang naik turun dan simetri itu nampak berseni dan cantik. Namun jika ditambah pula dengan angka dari 1 sampai 9999, ia akan ditentukan pula oleh nombor tersebut untuk memberikan sesuatu makna pada mereka yang ada sikap gila nombor yang sedikit sebanyak bersamaan dengan kepercayaan karut pada kuasa nombor.


WWW dalam dunia sekarang difahami sebagai World Wide Web dan jika ditambah dengan angka 1 di depannya mempunyai makna yang tersendiri sebagaimana yang diterangkan di sini. Selain daripada itu ia tidak ada membawa apa-apa makna melainkan di negara kita, WWW 1 hanyalah salah satu daripada jutaan nombor plate kereta yang ada.

Rakyat kita sepertimana dengan rakyat Asia yang lain ada sedikit pegangan karut terhadap semua benda yang bernombor. Nombor 4 dijit di negara kita membawa berbagai makna dan antara yang menjadi kegilaan orang kaya adalah segala nombor 8, baik hanya satu angka, dua atau tiga atau empat semuanya memberikan status hebat kepada pemiliknya.

Mereka yang memilikinya juga sudah tentu mahu orang lain tahu bahawa dia sebenarnya hebat sebab itu nombor tersebut dipamerkan kepada semua orang apabila diletakkan pada plate keretanya. Jadi aku sentiasa bersangka bahawa mereka yang mempamerkan semua itu ada sekelumit perasaan bongkak takbur dan menunjuk di dalam hatinya.

Ada orang kata ia berguna sebagai salah satu dari teknik psikologi untuk tanam kepercayaan orang pada peniaga yang ada nombor unik seperti itu. Aku berkata kalau begitu, nampaknya orang itu lebih yakin kehebatan nombor daripada keupayaan diri yang sebenar. Ada juga kata nombor pilihan adalah untuk memudahkan mereka mengingati nombor plate kereta mereka. Aku kata kalau begitu, orang itu ada masalah memori singkat yang teruk dan memerlukan rawatan.

Bila kita sebut nombor plate 1, kebiasannya ia dimiliki oleh golongan bangsawan atau pemerintah. Jarang ada orang biasa yang memiliki nombor sebegitu dan kalau ada pun dia sudah menjadi agak kaya kerana akan ada sahaja orang yang akan menawarkan harga yang lumayan untuk mendapatkannya.

Kemudiannya ditambah dengan WWW di depan nombor satu itu, ia menjadi lebih bernilai di mata orang kaya yang mahu orang tahu dia kaya. Sebenarnya WWW 1 lebih bernilai pada orang biasa yang kaya raya dan tidak berapa dikenali oleh orang. Dia perlu mempamerkan nombor itu pada plate keretanya agar orang dapat tahu dia kaya dan hebat.

Seorang Sultan sebenarnya tidak memerlukan nombor sebegitu sebab Sultan di negara kita tidak ada seorangpun yang miskin malah semua Sultan diletakkan pada status yang paling tinggi dikalangan rakyat Malaysia dan itu semua orang tahu walaupun sekarang ini ada segelintir rakyat yang dah mula meluat dengan kewujudan para Sultan ini, namun tidak ada sesiapapun yang boleh buat apa-apa kerana keistimewaan Raja dan Sultan terjamin di dalam Perlembagaan Malaysia dan hanya mereka sendiri yang boleh mengubahnya.

Jadi kenapa Sultan Johor sanggup menghabiskan duit poketnya untuk mendapatkan WWW 1. Apa yang aku boleh fikirkan ialah Sultan Johor punyai sikap baik dan kefahaman prinsip ekonomi yang tinggi. Kenapa aku kata begitu, adalah kerana duit disimpan dalam gebuk harta tidak ada apa-apa gunanya untuk rakyat jelata serta negara. Hanya apabila dia beredar sahaja maka faedahnya akan melata kepada semua rakyat.

Apabila Sultan Johor membida dan mendapat nombor tersebut dengan membayar jumlah wang yang tinggi kepada JPJ, sebenarnya secara tidak lansung ia telah menghulurkan wangnya kepada rakyat jelata. Wang itu seterusnya masuk ke perbendaharaan kerajaan dan akan digunakan pula untuk pembangunan. Bagi aku ia lebih berupa derma bernilai tinggi di mana jumlah yang cukup tinggi diberikan kepada negara hanya untuk mendapatkan sekeping nombor yang tidak ada apa-apa makna pada seorang yang bertaraf Raja.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License