3 punca rakyat Amerika tidak bahagia

Sunday 27 May 2012

Data kajian daripada tahun 1985 sehingga tahun 2005 menunjukkan peratusan rakyat Amerika yang puas hati dengan kehidupan mereka telah menurun sebanyak 30%. Peratusan mereka yang merasakan amat tidak berpuas hati dengan kehidupan mereka pula telah meningkat sebanyak 50%.

Antara punca yang telah dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah tersebut adalah:

  1. Perhubungan yang semakin longgar antara keluarga dan juga kawan.
  2. Penurunan penglibatan orang ramai terhadap aktiviti kemasyarakatan.
  3. Berkurangnya tahap kepercayaan orang ramai terhadap institusi politik.
laporannya ada di sini

Aku rasa negara kita juga sedang mengalami situasi yang sama sepertimana yang rakyat Amerika alami. Perhubungan antara keluarga dan lebih-lebih lagi antara kawan-kawan semakin longgar. Ini mungkin ada kena mengena dengan penggunaan teknologi yang berlebihan dan juga ketagihan penggunaan media sosial.

Masyarakat kita juga sudah mula meninggalkan aktiviti bergotong-royong dalam mengadakan majlis kenduri. Kalau dulu majlis kenduri kahwin satu kampung akan turun membantu menjayakan kenduri dari mula hingga akhir, sekarang tidak lagi begitu.

Aku teringat masa kecil dulu, kalau ada kenduri kahwin, habis semua saudara mara jauh dan dekat datang berkumpul di rumah saudara yang mengadakan majlis. mereka tinggal sampai seminggu di situ dan membantu tuan rumah. Aku masa tu ambil kesempatan menjalinkan hubungan dengan semua sepupu atau dua pupu yang ada. Jadi perkenalan sesama saudara mara amat luas.

Sekarang, kebanyakan daripada kita tak kenal dengan saudara mara. Kadangkala bersentuhan bahu dengan dua pupupun tak sedar sebab tak tahu. Ada juga yang tak kenal walaupun dengan sepupu sendiri sebab mak bapak tak ambil perduli untuk merapatkan silaturahim.

Dalam bab berkawan pulak. Aku lihat aktiviti ini semakin terbatas. Bukan senang nak mengumpulkan kawan rapat yang ramai. Dulu semasa sekolah dikampung, kawan cukup ramai. Habis sekolah, sambung berkawan di kampung. Habis semua kampung orang dijelajahi bersama. Makan nasi rumah kawan dihidangkan oleh ibu mereka adalah perkara biasa. Begitulah rapatnya perhubungan sesama kawan dikampung.

Hubungan berkekalan sehinggalah masing-masing membawa diri mengejar kehidupan. Bila ke bandar, suasana terkejar-kejar ditambah dengan masalah kesesakan lalu lintas, duit yang tak pernah cukup, sikap nafsu-nafsi sesama jiran dan lain-lain membuatkan perhubungan membina jalinan kawan-kawan menjadi sempit.

Dalam bab suasana politik pula sekarang, apa yang berlaku membuatkan rakyat yang duduk tengah-tengah yang merupakan golongan majoriti menjadi keliru. Tak tahu siapa benar siapa salah. Apa sahaja modal untuk menjatuhkan lawan diguna pakai walaupun ia bakal menghancurkan minda rakyat. Adengan seks lucah serta moral keji dengan selamba dipamerkan di seluruh media utama seolah-olah rakyat Malaysia tak ada malu, seolah-olah rakyat Malaysia tidak ada kanak-kanak.

Melihat daripada semua yang disebut di atas nampak sama sahaja apa yang berlaku di Amerika dengan apa yang berlaku dinegara kita, cuma tidak ada pulak kajian tahap kepuasan orang ramai terhadap kehidupan mereka di negara kita ada dijalankan. Apa yang lebih banyak dijalankan adalah tahap sokongan rakyat samada kepada parti pemerintah atau parti pembangkang. Itulah yang lebih menarik minta pengkaji untuk dibentangkan dan seterusnya digunakan pula oleh parti sebagai senjata mereka meyakinkan rakyat untuk memilih mereka.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License