Apa Jadi Kalau Kiamat Berlaku Pada 2012?

Saturday 31 December 2011

Samada manusia mempercayai Tuhan atau tidak mempercayai Tuhan fakta bahawa dunia akan mengalami kehancuran tidak dapat dinafikan. Bezanya cuma mereka yang masih berdegil kewujudan hari kemudian selepas kiamat masih mencari jalan untuk melepaskan diri apabila berlaku huru hara kiamat nanti.

Mereka cari jalan bagaimana manusia dapat menyelamatkan dirinya apabila bumi menemui kehancuran dengan berangan-angan mencipta kapal angkasa yang mampu menerobos angkasa menuju ke destinasi yang tidak diketahui. Setidaknya itulah yang sering digambarkan dalam filem-filem barat apabila menggambarkan saat-saat kehancuran dunia.

Semalam saya berbual dengan seorang teman tentang betapa cepatnya setahun berlalu. Baru sebentar sahaja rasanya menyambut tahun baru 2011 dulu dan kini timbul pula 2012. Kami berbincang tentang ramalan segelintir orang yang kononnya kiamat berlaku pada tahun 2012.

Teman saya spontan menjawab kalau benar sudah tentu ia sesuatu yang amat melegakan. Saya terkejut dan bertanya kenapa. Jawabnya selamba "selesai semua masalah hutang aku". "Bukan aku sengaja tak mau bayar dah kiamat nak buat macam mana", sambungnya.

Teman saya itu punyai hutang berjuta ringgit dan beberapa kes saman yang masih belum selesai. Kini dia bertungkus lumus berusaha melepaskan dirinya daripada kekangan hidup dan setakat ini nampaknya nak lepas persediaan anak-anaknya ke sekolah pun sukar. "Sekurang-kurangnya aku tahu anak-anak aku yang kecil-kecil tu masuk syurga"...ayat akhir teman saya. Saya terdiam memikirkan apa yang dia cakap tadi.

Hari ini pula saya mendapat berita salah seorang kenalan saya Haji Abdul Rahman meninggal dunia beberapa hari lalu secara mengejut. Beliau dalam perjalanan naik lif untuk ke satu mesyuarat dan tiba-tiba mengadu sakit dada. Dia kemudiannya rebah dan disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital.

Haji Abdul Rahman merupakan seorang pegawai pencen. Beliau bersara daripada menjawat jawatan pengarah jabatan buroh di sebelah utara tanah air beberapa tahun lalu. Sejak bersara dia menjadi semakin ligat mengejar berbagai projek bernilai berjuta-juta ringgit.

Kalau berbual dengannya, semua projeknya bernilai tak kurang dari 10 juta. Kurang daripada itu jangan cakap, katanya. Kalau nak diikutkan apa yang dia ada sebenarnya semua sudah cukup, tapi keinginan menjadi jutawan tidak mampu dilepaskan daripada igauannya membuatkan dia seperti lipas kudung mencari peluang.

Baru 3 minggu sudah saya minum dengannya di sebuah kedai di Shah Alam. Beliau sedang sibuk menguruskan satu transaksi menjual minyak. Beliau telah mendapatkan kelulusan membeli minyak daripada Petronas untuk dibekalkan kepada syarikat yang berminat di luar negara. Kini beliau sedang berusaha mendapatkan pinjaman berbillion ringgit daripada pihak bank.

Selain daripada itu beliau juga sibuk mengatur dan mengemaskini satu syarikat 'public listed' yang baru diambil alihnya. Syarikat itu terlibat dalam industri perladangan dan wang bagi mengambil alih syarikat itu juga adalah hasil pinjaman dari beberapa bank yang bernilai berjuta-juta ringgit.

Sebelum meninggalkan saya hari itu, dia sempat tersenyum dan berbisik pada saya, "aku ni berlagak saja sebenarnya, duit tak adapun dalam poket tapi bercakap tentang berjuta-juta ringgit....hahaha" dia ketawa lalu meninggalkan saya menaiki kereta Merz s calssnya. Itulah kali akhir saya melihat dan berbual dengannya. Berita kematiannya hari ini membuatkan saya berfikir panjang...sekurang-kurangnya semua kerjanya telah selesai dan tak pelu kelam kabut lagi.

Apa yang berlaku dalam masa-masa terakhir di ambang berakhirnya tahun 2011 ini membuatkan saya terfikir apakah agaknya yang terjadi kalau kiamat berlaku pada tahun 2012:
  1. Yang paling utama sekali adalah, masa sudah tidak ada makna lagi.
  2. Bagi mereka yang sedang dibebani dengan seribu satu masalah hutang, kes mahkamah, dikejar along, perniagaan yang tak menjadi dan lain-lain seumpamanya tentu merasakan kiamat merupakan penyelamat.
  3. Bagi mereka yang mempunyai wang ratusan juta ringgit, wanita-wanita teman sekatil dan bersuka ria yang cantik, hartanah yang bertimbun, pangkat dan kemashyuran tentu merasa amat rugi dan kesal dengan apa yang berlaku, mereka impikan hari yang lebih panjang bagi menikmati apa yang dimiliki. Kiamat menjadi satu musibah pada mereka.
  4. Bagi Pakatan Rakyat sudah tentu kemenangan PRU-13 yang baru dikecapi pada 2012 menjadi tidak bermakna. Penat mereka berusaha bertungkus lumus memperkuatkan parti dan berusaha sepenuh hati menumbangkan BN, akhirnya tak sempat memerintah apabila kiamat melanda.
  5. Bagi BN pula yang baru menerima kekalahan tersenyum lebar dan insaf apabila mereka telah tersedar dari mimpi tepat pada masanya. Tentu ramai yang berkata nasib baik kau bertaubat sebelum kiamat. Rupanya ujian jatuh terduduk membuatkan kita kembali tersedar. Terima kasih pada Pakatan Rakyat kerana menyedarkan kita, barangkali itu kata mereka.
  6. Bagi rakyat bawahan pula yang nak dikatakan senang tidak juga nak dikatakan susah tidak juga akibatnya mereka buat ambil tak penting dengan segala apa yang berlaku atas alasan mencari hidup yang aman akhirnya akan menyesal juga apabila terpaksa menerima huruhara kiamat dan musnah tanpa ada satu pegangan yang diperjuangkan. Kalau dulu aku lawan kebathilan sampai jadi abu kan bagus, barangkali itu kata mereka.
  7. Yang paling penting sekali adalah semua sedar bahawa apa saja perjuangan yang mereka tegakkan selama ini tidak ada apa-apa makna lagi. Jika mahukan harta, harta tidak menyelamatkan mereka lagi, kuasa juga tak mampu menyelamatkan mereka. Semuanya hancur dengan membawa tangan yang kosong. Kecualilah mereka yang membawa keihklasan dalam apa saja usaha mereka dihadapkan semata-mata mencapai keredhoan Tuhan, mereka lah yang akan menerima kehancuran sambil tersenyum samada menang atau kalah. Kiamat atau tidak kiamat pada tahun 2012 sama saja pada mereka. 

Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License