Guru Quran Dipenjara 10 Minggu Menyepak Dan Menampar Kanak-Kanak !

Friday 25 November 2011

Sabir Hussain, 60 tahun merupakan seorang guru Quran yang mengajar secara sukarela di sebuah Masjid di UK. Pada tahun lalu tindakannya menyepak dan menampar anak muridnya seramai 4 orang yang berumur antara 10 ke 13 tahun telah dirakamkan secara sembunyi oleh sekumpulan pekerja dari sebuah stesen TV di sana.

Gambar beliau menghukum kanak-kanak tersebut dengan menyepak dan menampar telah disiarkan untuk tontonan umum yang seterusnya membawa kepada pendakwaannya. Bagi rakyat Britain hukuman sebegitu terhadap kanak-kanak yang lemah tidak dapat diterima sama sekali. Baca laporannya di sini.

Budaya mengajar dengan garang memang dah menjadi kebiasaan kepada masyarakat kita pada masa dahulu. Kebanyakan tok-tok guru mengaji Quran di kampung dulu memang garang. Kena pukul dengan rotan merupakan perkara biasa bagi para pelajar yang nakal dan juga lembab. 


Kalau baca buku Abdullah Musyi dalam Hikayat Abdullah, beliau menceritakan bagaimana tok-tok guru mengaji menghukum para muridnya dengan berbagai hukuman yang berat termasuklah digantung kaki di atas dan kepala dibawah sambil dibakar sabut dibawah kepala kanak-kanak yang dihukum itu.

Zaman makin berubah dan bentuk hukuman semakin ringan. Pada masa saya belajar mengaji di masjid dulu kena tibai dengan rotan dikaki memang biasa kalau nakal dan bermain-main ketika belajar.

Kebiasannya para ibubapa tak pernah merungut jikalau anak-anak mereka dipukul sehingga berbekas. Lagipun  anak mereka tak akan menceritakan pada ibubapa jika kena pukul. Kalau ibubapa dapat tahu biasanya mereka akan tambah lagi hukuman bonus di rumah pula dengan dirotan kerana memalukan mak bapa.

Itu semua cerita dulu-dulu. Pada masa tok-tok guru mengajar mengaji secara percuma tanpa meminta apa-apa balasan. Kini semua sudah berubah. Nak belajar mengaji Quran kena bayar, semuanya sudah tidak percuma lagi. Guru-guru pula ada yang akan pergi ke rumah anak muridnya untuk mengajar mengaji dan dibayar upahnya.

Sejak segalanya berbayar, guru-guru garang yang menghukum aanak muridnya dengan rotan sudah tidak ada lagi. Guru semua sudah menjadi profesional dan sabar sahaja dengan kerenah anak-anak murid mereka, asalkan ibubapa mereka membayar upahnya mengajar, mereka tak kisah jikalau kanak-kanak itu nakal.

Tetapi dalam kes menghukum dengan menendang dan saya masih belum pernah dengar lagi ada dilakukan oleh tok-tok guru dulu. Setakat penampar dan dicampakkan cangkul pada kanak-kanak nakal adalah!
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License