Tertarik dengan cerita di sini, membuatkan saya tertanya samada benar atau tidak berita yang saya dapat dari kawan-kawan di Pulau Pinang yang menuduh kepimpinan Pas negeri tidak agresif, tidak berpandangan jauh dan tiada visi untuk menjadi juara.
Pas Pulau Pinang dikatakan lembab dan tidak tahu mengambil kesempatan atas pemerintahan kerajaan PR yang diterajui oleh DAP di sana sedangkan ketua menteri Pulau Pinang sentiasa tertunggu-tunggu sebarang usaha atau cadangan dari pimpinan Pas di sana untuk membantu umat Islam atau bangsa Melayu agar sama-sama dapat menikmati arus pembangunan di Pulau Pinang.
Yang paling penting sekali ialah satu usaha dari Pas Pulau Pinang dalam memberikan idea serta sumbangan terhadap kemajuan orang Islam atau orang Melayu Pulau Pinang. Orang Melayu yang sepatutnya diwakili oleh Parti Pas di sana perlu menggerakkan sendiri segala kegiatan ekonomi dan pembangunan dan bukannya mengharapkan segalanya dihidangkan oleh orang Cina atau DAP. Takkan lah orang cina nak buat segala kerja untuk orang melayu!.
Baru-baru ini saya mendapat berita yang ketua pemuda Pas Pulau Pinang merancang program korban di Kemboja dan mempromosikannya di kalangan orang melayu di sana agar sama-sama menyumbang kerja amal korban di Kemboja.
Bukanlah satu kesalahan melakukan aktiviti korban di Kemboja tapi biarlah orang lain yang buat kerja seumpama itu dan memang telah ramai individu persendirian yang melaksanakannya. Kenapa Pemuda Pas nak buat lagi sedangkan lebih afdal dari segi politik untuk pemuda Pas memperhebatkan program di Pulau Pinang sendiri. Di Pulau Pinang pun ramai orang melayu yang susah dan perlukan bantuan.
Semua itu membuktikan Pemuda Pas Pulau Pinang ketandusan idea dan buat percaturan aktiviti secara hentam kromo tanpa apa-apa perancangan strategi yang dapat membantu Parti dari segi mileage politik. Adalah lebih baik pemuda Pas menggerakkan satu kumpulan yang membuat kerja kumpul maklumat segala masalah serta keresahan yang timbul dikalangan orang Melayu Pulau Pinang dan mengutarakan jalan penyelesaian kepada kerajaan negeri.
Banyak forum yang membicarakan tentang orang Melayu di Pulau Pinang dianjurkan oleh PKR atau Pas di sana tetapi forum hanya tinggal forum dan hanya kertas yang berkerja. Selesai sahaja forum tiada sesiapa pun yang buat kerja.
Forum hanya membincangkan perbandingan siapa yang lebih bagus untuk mewakili orang melayu di Pulau Pinang samada Pas atau Umno. Forum juga sering cuba mencari siapa bersalah dan siapa sebenarnya yang menjadi pengkhianat melayu di antara Pas dan Umno sedangkan apa yang diperlukan oleh orang melayu ialah tenaga penggerak yang aktif merancang dan menggerakkan segala aktiviti. Lihat forum yang dianjurkan semalam di sini.
Kalau Pas tuduh orang Umno aktif menjayakan serta mengkayakan orang melayu di kalangan melayu Umno dan kroni tertentu sahaja, adalah lebih teruk lagi jika Pas lansung tak buat apa-apa, lansung tidak pernah menghasilkan usahawan serta jutawan yang hebat. Lebih baik ada usaha menaikkan sebilangan orang melayu daripada kesemua orang melayu tak dapat apa-apa. Lebih baik menghebatkan sebilangan melayu daripada tiada seorangpun yang terbilang.
Fenomena sindrom penafian masih dihidapi oleh parti pembangkang termasuklah Pas di Pulau Pinang apabila ada orang Melayu atau Pas sendiri yang bangun bersuara, maka terpancul keluar dari mulut Pimpinan Pas bahawa orang tersebut menjadi tali barut Umno, itu semua Umno punya kerja dan lain-lain lagi seribu satu macam penafian.
Sudahkah Pas menubuhkan satu badan atau biro aduan yang mengambil semua aduan atau keluhan masalah orang melayu di Pulau Pinang seterusnya mengutarakan jalan penyelesaiannya kepada kerajaan negeri Pulau Pinang. Sepatutnya semua cawangan Pas di Pulau Pinang telah membentuk biro aduan ini yang berjalan setiap hari bagi menjadi agen atau wakil atau orang tengah di antara orang melayu pulau pinang dengan kerajaan negeri DAP.
Ramai orang percaya bahawa DAP akan mampu mempertahankan kerajaan mereka di Pulau Pinang pada PRU 13 ini. Jika Pas tidak kukuh, agresif, profesional dan maju ke hadapan dalam menjadi champion orang Melayu dari sekarang saya khuatir sejarah akan mencatitkan bahawa Pas telah menjadi pengkhianat kepada kepupusan orang Melayu di Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment