Coretan Merapu - Kenapa Nasharudin Terpaksa Mempertahankan Jawatan Timbalan?

Wednesday 4 May 2011

Dalam kebanyakan organisasi, timbalan presiden kebiasaannya merupakan orang yang dilihat layak menggantikan jawatan presiden jika ada apa-apa hal terjadi kepada presiden. Menggantikan bukan bermaksud menjadi orang nombor satu, tapi tetap sebagai orang nombor dua yang berkhidmat kepada orang nombor satu dan memastikan nombor satu tetap orang nombor satu.

Sebagai contoh yang mudah kita boleh lihat percaturan UMNO yang dipimpin oleh Tun M di mana beliau sendiri mencantas sebanyak 2 timbalannya yang sepatutnya menjadi orang harapan bagi membantunya. Satu dari timbalannya dicantas oleh orang lain untuk menggantikan tempat timbalan. Mahathir terpaksa mencantas mereka kerana mereka sudah lawan tauke, dan mahu berfungsi sebagai orang nombor satu.


Timbalan presiden Umno yang terakhir semasa zaman Tun M akhirnya dilepas menggantikan beliau sebagai presiden. Pun begitu beliau jugalah yang akhirnya memainkan peranan mencantas jatuh bekas timbalannya itu yang telah naik menggantikannya kemudian sebagai presiden dan juga PM Malaysia.

Hanya satu perkara yang kita dapat belajar daripada percaturan Tun M dalam menguruskan partinya. Timbalan hendaklah sentiasa menjadi pembantu kepada presiden. Pembantu dalam ertikata memastikan presiden sentiasa menjadi orang nombor satu. Sebagai timbalan dia tidak boleh berlagak menjadi orang nombor satu.

Seperkara lagi yang kita perlu belajar daripada Tun M adalah, jika kita mahu menjadi Presiden, pastikan kita naik dengan berlawan dan bukan dengan perlatikan macam yang terjadi pada Pak Lah. Kebiasannya jika kita lawan dan menang, sudah pasti ini menunjukkan kita lebih kuat daripada orang yang kita jatuhkan. Orang yang jatuh tersebut tak akan mampu mengacaunya dari luar sebagaimana Tun M mengacau Pak Lah.

Mungkin inilah yang sedang berlaku dalam PAS apabila Nasharudin akhirnya membuat keputusan untuk mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PAS, dia sedang memastikan bahawa tidak akan ada orang lain yang akan mencabar atau mengacau Presiden PAS.

Apabila Mat Sabu yang punyai aliran tidak popular (bukan ulama) menyahut cabaran pencalonan terhadapnya bagi merebut jawatan Timbalan, maka Nasha terpaksa kehadapan untuk bertarung bagi menghalang aliran tidak popular mengepalai kepimpinan esekutif PAS.

Jika Mat Sabu berjaya menjawat jawatan Timbalan Presiden, berkemungkinan besar dengan aliran yang tak sama, dia akan menimbulkan masalah untuk bergandingan dengan Tuan Guru Haji Hadi. Takut-takut kalau dia tidak akan bertindak sebagai orang nombor dua.

Gandingan Tuan Guru haji Hadi bersama dengan Nasharudin adalah gandingan yang paling ideal. Apabila Tuan Guru senyap, Nasha juga lebih senyap dari Tuan Guru dan sentiasa tidak memotong barisan ke hadapan.

Jika tempat Nasha digantikan oleh Mat Sabu, sudah tentu hanya suara Mat Sabu yang akan kedengaran di mana-mana. Memang itulah kelebihan Mat Sabu, dari atas jalan sampai ke Parlimen dia boleh buat suaranya kedengaran.

Ini hanya akan menenggelamkan suara presiden, ini sudah lebih namanya. Mat Sabu akan dilihat menjadi orang nombor satu. Jadi sebelum itu berlaku, Mat Sabu perlu dicantas terlebih dahulu oleh Nasha bagi mengekalkan keadaan parti sebagai mana adanya.

Ringkasnya jika Pas tak mahu bertukar, jawatan Presiden dan jawatan Timbalan presiden juga tidak perlu ditukar. Biarlah hanya jawatan naib presiden dan ke bawah sahaja yang bertukar. Biarlah kita ikut kata-kata ulama Pas Kedah ketika menolak buku Menuju Pas Baru tulisan Mujahid, "perjuangan Pas adalah dakwah, bukannya mahu ke Putrajaya".

Nampaknya kata-kata keramat, "Biarlah Pas kalah 'liau-liau', asalkan Islam menang, kita akan terus berjuang" akan terus berkumandang. Hidup PAS!

Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License