PAS gagal tampil sebagai sebahagian daripada PR - Kempen Di Sarawak

Tuesday 19 April 2011

Sesungguhnya, matlamat Pakatan Rakyat untuk menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional gagal pada malam 16 April 2011. Namun demikian, seandainya ditelitikan keputusan PRN Sarawak, Pengerusi BN Najib Razak seharusnya berasa lebih tertekan dan panik, lebih-lebih lagi apabila statistik menunjukkan bahawa BN hanya memperolehi 55% undi popular.

Demikianlah komentar daripada AJK Pusat PAS, Dzulkefly Ahmad (gambar kiri)ketika dihubungi MerdekaReview untuk mengulas keputusan PRN Sarawak. Secara lebih terperinci, dua etnik besar, iaitu kaum Cina dan Iban memberi isyarat kepada BN bahawa mereka berpotensi untuk mencetuskan perubahan yang lebih besar dalam PRU yang akan datang, kata Dzulkefly Ahmad.

Ahli parlimen Kuala Selangor ini juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada rakan partinya, DAP yang memenangi 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan. Sungguhpun sesetengah menganggap DAP bertanding di kawasan bandar, yang sudah menunjukkan kecenderungan untuk menyokong PR, namun Dzulkefly Ahmad menganggap jentera penerangan DAP cukup hebat - dengan banner, billboard, poster, aktiviti lawatan dan sebagainya yang cukup menarik.

Bagaimana pula "sentuhan PAS"? Persoalan menyusul kemudian, diajukan kepada Dzulkefly Ahmad - mengapa PAS gagal "memanfaatkan" sentimen "Undur Taib" untuk memenangkan kerusi bagi partinya?

Beliau terpaksa menjawab dengan cukup berwaspada. Malah sebelum ini apabila beliau menyatakan kekaguman diri terhadap komitmen pimpinan DAP, beliau juga berdepan dengan soalan sebaliknya, iaitu "sejauh mana pula komitmen pimpinan PAS"?

PAS gagal tampil sebagai sebahagian daripada PR

Dzulkefly terpaksa berdepan dengan kekalahan partinya. "PAS dalam penampilan ketiga dalam PRN Sarawak mencari-cari sentuhannya. Pada saya, ...gagal digarap dengan baik, sedikit sebanyak oleh PAS, atau dengan kata lain gagal menampilkan partinya sebagai sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan agenda perubahan Pakatan Rakyat."

Ia berdasarkan pengalaman dirinya. Seorang kawan adik iparnya yang bekerja di Sarawak, pro-pembangkang dalam pendirian politiknya berkata, beliau gagal mencari logo DAP atau PKR dalam kertas undi di kawasan PAS bertanding, maka beliau akhirnya memangkah dacing (Barisan Nasional).

Mesej di sebaliknya, "PAS gagal menampilkan dirinya sebagai parti yang sinonim dengan DAP dan PKR. Itu bermaksud, PAS gagal memberi mesej yang jelas kepada pengundi bahawa sokongan terhadap PAS adalah bersamaan sokongan terhadap DAP mahupun PKR."

MerdekaReview dimaklumkan bahawa pemimpin DAP tidak diundang untuk berceramah di kawasan Muara Tuang dan Tanjung Datu. Dzulkefly Ahmad kelihatan sukar untuk mempertahankan keadaan sebegitu, cuba membela partinya dengan berkata "tempoh kempen yang terlalu singkat".

Strategi berperang sering disesuaikan dengan keadaan yang sebenar. Maka persoalannya, dengan tempoh kempen selama 10 hari, apakah mesej yang dibawa oleh PAS di Sarawak untuk mengolah sokongan rakyat? Apakah pendekatan "berdakwah" sebagaimana yang dilakukan di Semenajung itu strategi yang tepat untuk menghadapi pertarungan 10 hari?

Dzulkefly terpaksa mengakui, "Mesejnya kurang jelas untuk menonjolkan PAS bersepakat dengan PKR dan DAP." Jelas, beliau enggan secara terbuka mengkritik partinya dalam media, hanya memberi jawapan "mungkin lebih baik jika kami tumpu dengan agenda perubahan bersama Pakatan Rakyat, isu tumbangkan Taib Mahmud...yang lebih mudah untuk diterima masyarakat tempatan dalam masa yang singkat."

Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License