Ketika sedang minum dengan seorang ustaz yang terkenal yang sering muncul di kaca TV, dia menceritakan satu peristiwa seorang ayah yang datang mengadukan masalah anaknya kepadanya.
Masalah yang sedang dihadapi oleh si ayah tersebut adalah mengenai seorang anaknya yang kini makin menjadi-jadi mahu memakai tudung semenjak naik ke sekolah menengah. Ketika di sekolah rendah anaknya itu hanya sering bermain-main di rumah dengan memakai tudung ibunya. Sang ayah sering menegurnya agar jangan buat begitu namun tidak begitu serius.
Tetapi sejak akhir-akhir ini anaknya sampai mula membeli beberapa helai tudung dan nampak serius mahu memakainya. Puas sang ayah menegurnya dengan keras namun anaknya tetap merayu.
Mendengar cerita tersebut saya mencelah pada Ustaz dengan mengkritik si ayah tersebut dan mula hairan kenapa ayahnya melarang. Ustaz berkata dia sebenarnya bersetuju dengan tindakan si ayah yang membantah keras keinginan anaknya itu.
Bertambahlah lagi kehairanan saya dan mula berasa sangsi pada si Ustaz pulak. Ajaran mana pulak yang cuba diketengahkan oleh si ustaz ini, kata saya dalam hati. Saya bertanya pada ustaz apa alasannya menyetujui tindakan si ayah.
Lalu Ustaz berkata masalahnya adalah anak kepada si ayah itu adalah seorang lelaki! Alamak saya pula berasa malu pada ustaz kerana terlalu cepat melatah.
Moral of the story: Jangan cepat melatah dan menghukum, dengar dan fahami dulu semua cerita sehingga habis baru buat keputusan.
No comments:
Post a Comment