PM mengulas dari lawatannya ke Jepun untuk menyemak semula dasar pandang ke timur yang telah terlaksana selama 28 tahun yang banyak memberi sumbangan kepada ekonomi Malaysia.
Memang elok saranan PM itu, kita perlu memandang ke timur bukan saja dari sudut ekonomi malah harus ditebarkan lebih jauh lagi sehingga ke peringkat politik.
Budaya orang Jepun mengambil tanggungjawab besar dan serius dalam amanah apabila menjadi pemimpin. Mereka tidak tangguh-tangguh untuk mengundur diri dan mengecam diri sendiri apabila berlaku kecurangan atau kesilapan dalam kepimpinan mereka.
Mereka mengambil tangungjawab penuh ke atas apa yang berlaku sebagai pemimpin.
Jika itu kita contohi, pemimpin kita akan lebih dipandang mulia dan bertanggungjawab dan akan berhati-hati untuk melakukan kecurangan. Kita perlu mengadakan satu kerjasama seperti itu, belajar dari para pemimpin Jepun.
Jangan setakat ekonomi sahaja yang akhirnya akan ada poket pemimpin yang kembung lebih dari keseluruhan rakyat.
Ikuti laporan dari Utusan di bawah:
Dasar Pandang Ke Timur perlu disemak - PM
(Ulasan Gambar Di Atas)
TOKYO 19 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masanya sudah tiba untuk Dasar Pandang Ke Timur yang bermula 28 tahun lalu disemak semula dengan memperkenalkan usaha baru yang menepati keperluan dan kepentingan semasa serta masa depan Malaysia-Jepun.
Walaupun Perdana Menteri mengakui jasa besar dasar itu antara teras hubungan dua hala selain manfaat kepada lebih 15,000 rakyat Malaysia, kedua-dua negara perlu tampil dengan formula baru untuk terus bergerak ke hadapan.
"Kita akan melihat pakatan strategik dalam bidang-bidang teknologi baru seperti alam sekitar, industri hijau, nano serta sektor komunikasi," kata beliau pada majlis jamuan rasmi anjuran rakan sejawatannya dari Jepun, Dr. Yukio Hatoyama sempena lawatan beliau di sini hari ini.
Jamuan itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; isteri Hatoyama, Miyuki; Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; serta Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md. Som.
Pandangan Najib mengenai keperluan dasar itu disemak semula turut dipersetujui Hatoyama dengan kedua-dua pihak mengakui hubungan Malaysia-Jepun kini memasuki fasa baru yang menekankan kepentingan meningkatkan perkongsian sumber dan kepakaran.
Menurut Najib, Malaysia sangat menghargai kerjasama ekonomi Jepun yang terus berkembang sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik 50 tahun lalu.
Namun, beliau berpendapat walaupun banyak kejayaan yang telah dicapai, potensi untuk berkembang masih terbuka luas khususnya dengan pelaksanaan Model Ekonomi Baru (MEB) serta Iskandar Malaysia untuk Jepun menggandakan nilai pelaburan.
Perdana Menteri berkata, walaupun kemelesetan ekonomi dunia memberi kesan kepada penurunan nilai perdagangan dua hala, keadaan itu dijangka berubah kepada lebih baik bermula tahun ini.
Untuk rekod, nilai perdagangan Malaysia-Jepun susut daripada RM136 bilion pada 2008 kepada RM108.7 bilion tahun lalu.
No comments:
Post a Comment