Adakah Sikap Macam Ni Salah Kerajaan ?

Saturday 14 January 2012

Baru-baru ini bila sampah bertaburan tak terbela di sekitar Selangor, ia telah menjadi isu besar. Satu kumpulan mengambil isu itu untuk menyalahkan Kerajaan yang memerintah manakala satu lagi kumpulan pulak mendakwa ada orang atau golongan yang cuba sabotaj Kerajaan yang memerintah.

Saya nak cerita isu berkenaan masalah sampah juga di sini. Hari ini ketika melalui sekitar kawasan Hulu Langat menuju ke kawasan sekitar Empangan Semenyih hinggalah sampai ke Kuala Kelawang di Negeri Sembilan saya menyaksikan sampah bertaburan di tepi-tepi jalan.


Melihatkan keadaan dan jumlah sampah yang ada, ia nampaknya dituang oleh berbuah-buah lori dan ia bukanlah kerja individu setempat. Ada juga kawasan yang bukan merupakan kawasan penempatan.

Ada satu kawasan kat Hulu Langat kelihatan sampah terlalu banyak di sekeliling tiang amaran Majlis Daerah  yang dengan terang dan jelas melarang orang ramai membuang sampah di situ atau bakal didenda Rm10,000.

Keadaan yang dilihat merupakan satu penghinaan kepada pihak berkuasa dan mereka hanya memperlekehkan tanda amaran tersebut apabila sampah dengan jengjelnya bertaburan sepanjang 200 ke 300 meter berdekatan papan tanda amaran itu.

Ada beberapa tempat dan keadaan yang saya biasa melawat di mana sampah amat teruk tidak diuruskan dengan sempurna. Kebiasannya kawasan tersebut merupakan kawasan gelandangan atau tempat penginapan haram di tanah-tanah kerajaan.

Pernah sekali saya naik bot dari Kota Kinabalu pergi ke Pulau Gaya yang tidak jauh dari KK, di mana terdapat puluhan rumah yang didiami oleh para pendatang atau pelarian Filipina yang tidak berwarganegara. Mereka membina rumah di atas air laut dan menjadikan daratan atau pantai sebagai tempat membuang sampah sehingga bertimbun-timbun dan di kawasan sampah itulah anak-anak mereka bermain-main.

Sekali saya pernah pergi bersiar-siar di sekitar penempatan orang asli di kawasan gombak yang nampaknya telah mula mengadaptasi menjadi orang kampung dengan membina rumah-rumah tetap di sekitar perkampungan mereka itu. Di situ juga sampah sarap tidak diuruskan dengan baik dan mereka membuang segala benda seperti plastik, beg di serata tempat sehingga mencemari kawasan sungai serta kawasan sekeliling mereka.

Secara umumnya kita boleh katakan masalah sampah ini timbul apabila masyarakat tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan suasana persekitaran. Orang asli contohnya tidak biasa dengan penggunaan beg-beg plastik makanan dalam kotak, dalam tin dan lain-lain sepertimana ketika mereka dihutan yang segala keperluan mereka adalah dari alam sekitar juga. Seperti mana tabiat mereka dihutan seperti itulah guga mereka membuang sampah setelah menggunakannya.

Apabila mereka didedahkan secara mengejut dengan pembangunan yang mendadak tanpa diserapkan ilmu bagaimana menggunakannya dan menguruskannya maka berbagai masalah pencemaran mula timbul. Dalam kes orang asli ini kita boleh maafkan memandangkan mereka masih lagi sedang melalui proses kemajuan dan penyesuaian dan adalah menjadi tanggung jawab kerajaan/masyarakat menerapkan segala ilmu yang patut sebelum terlambat bagi persediaan terhadap mereka dengan perubahan yang ada.

Dalam kes penduduk atau pelarian di kampung Gaya pula keadaan begitu adalah dijangkakan memandangkan mereka tidak punyai kewarganegaraan dan tidak punya rasa apa-apa tanggung jawab terhadap persekitaran yang mereka diami. Tiada sifat patriotik dalam jiwa mereka dan kalau kawasan itu bersihpun bukan mereka akan mendapat taraf kewarganegaraan pun malah besar kemungkinan akan dihalau bila-bila masa saja.

Bagaimana pula dengan mereka yang bukannya orang asli dan bukan juga orang pelarian yang selamba rock saja menaburkan segenap kekotoran di tempat yang mereka suka ikut sedap hati mereka saja. Apa sebenarnya masalah mereka.

Sampah yang dibuang di kawasan hutan atau semak belukar biasanya dilakukan oleh para kontraktor pembuangan sampah. Kenapa mereka buat begitu adalah untuk menjimatkan kos. Kos minyak, kos masa, kos perjalanan dan lain-lain. Semuanya semata-mata untuk mengejar keuntungan tanpa memperdulikan perasaan atau kebajikan orang lain.

Masih ramai juga orang-orang kampung yang bertabiat mencampakkan sampah, bangkai binatang, dan bermacam-macam lagi ke dalam sungai di kawasan tempat mereka tinggal. Orang kampung biasanya suka melihat halaman rumah mereka bersih teratur tetapi dalam masa yang sama untuk membersihkan rumah mereka, sampah dicampakkan jauh dari rumah mereka ke dalam sungai.

Entah apa yang mereka fikirkan dengan tabiat mereka itu merupakan satu misteri. Di kampung saya seperti di Kubang Semang dan Penanti, ramai tok-tok Lebai serta Mak Hajah yang berulang alik mengikuti pengajian agama di sana. Ketika pergi ke Rumah Ustaz Bakar, mereka menjingjing bangkai ayam dan sebelum sampai ke pusat pengajian mencampakkan bangkai tersebut ke dalam Ban (Sungai) Busuk.

Amat menghairankan apabila umat Islam memandang agama hanyalah zikir, baca ayat suci Al-Quran, baca kitab, amalan doa harian, solat sunat dan mengotorkan alam sekitar tidak meresap masuk ke dalam jiwa mereka sebagai satu tugas yang besar.

Salah satu tugas besar bagi mengimarahkan muka bumi yang dibebankan kepada manusia adalah menjaga alam sekitar malangnya amat sedikit yang melaksanakannya. Kadangkala saya menegur mereka yang mencampakkan sampah atau bangkai ke dalam ban busuk, dan saya akan menerima satu senyum simpul selamba tanpa ada rasa bersalah.

Jika para kontraktor berkelakuan sebegitu kita boleh katakan kerana mereka tamakkan keuntungan wang ringgit, bagaimana pulak dengan orang kampung yang buang sampah merata tempat seperti ke dalam sungai dan sebagainya, tiada apa-apa keuntungan yang mereka raih daripada amalan itu, jadi kenapa mereka buat begitu?.

Sebenarnya siapakah yang perlu kita salahkan dengan kecelaruan yang berlaku pada masyarakat kita, adakah kita patut salahkan kerajaan yang memerintah atau kita patut salahkan diri kita sendiri. Andaikata semua dari kita melaksanakan tugas kita mencegah kemungkaran dan menyuruh kapada kebaikan sudah tentu kita mampu mengurangkan semua masalah ini.

Itupun kalau kita sedar bahawa mencegah kemungkaran termasuklah menghalang orang ramai membuang sampah merata-rata dan bukan hanya sekadar memberkas pasangan berkhalwat semata-mata. Moga kita diberikan kekuatan untuk mengamalkannya, insya'Allah.
Share on :

3 comments:

  1. mudah saja jawapannya. jika berlaku di negeri yg diperintah olh pr maka ia salah rakyat dan apabila berlaku di negeri di perintah umno maka ia salah kerajaan. sy pasti inilah jawapannya

    ReplyDelete
  2. jawi,
    Respect tuan punya pendapat tapi maaf tak dapat nak setuju.
    Terima kasih komen.

    ReplyDelete
  3. Haha setuju dengan jawi. Banyak dah terbukti ;)

    ReplyDelete

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License