PAS Tidak Ikhlas Dengan 'Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas'

Tuesday 15 November 2011

Hu Pang Chau
Menarik membaca laporan dari Malaysian Insider tentang sasaran Pas bagi mendapatkan kerusi campuran untuk meletakkan calon dari kalangan ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pada PRU-13 yang bakal menjelang nanti.

Sebelum tertubuhnya DHPP, mereka hanyalah merupakan sebuah kelab penyokong PAS dan bukanlah merupakan salah satu daripada sayap Pas. Namun sebagaimana komen Ibnuhasyim dalam blognya di sini, ketika menjadi sebuah kelab, mereka begitu aktif sekali bergerak bagi mendapatkan sokongan bukan Islam bagi meyokong Pas.

Sebaik sahaja mereka diserapkan sebagai salah satu sayap Parti, nempaknya DHPP seperti tidak bermaya malah beberapa kenyataan pengerusinya dilihat seperti tidak seiringan dengan pimpinan Pas pusat. Kenyataan Hu Pang Chau yang memimpin DHPP dalam kes Hudud melihatkan ahli-ahli Dewan tidak memahami aspirasi Pas.


Kenyataan yang disiarkan dalam akhbar kononnya ada ugutan untuk meninggalkan Pas amat mengejutkan. Mungkin ada kesilapan laporan yang tersasar daripada maksud sebenar Hu Pang Chau, namun adalah menghairankan maklumat sebegitu disuarakan diluar parti seolah-olah mereka tidak dapat meyuarakan atau menjelaskannya di dalam parti.

Setelah diselidiki rupanya ada sebab mengapa DHPP terpaksa menyatakan pandangan mereka diluar parti. Ini disebabkan semenjak mereka diserap menjadi salah satu sayap parti, mereka tidak pernah dijemput untuk turut sama menyertai sebarang mesyuarat Pas pusat.

Tindakan Pas yang tidak melibatkan DHPP dalam mesyuarat pusat seolah-olah sayap non-muslim tersebut hanyalah sekadar wayang kulit yang tidak ada apa-apa makna dalam parti. Tindakan sebegitu menampakkan seolah-olah penubuhan mereka hanyalah sekadar melepaskan batok di tangga.

Antara alasan paling besar mengapa DHPP tidak dijemput menyertai mesyuarat adalah disebabkan sukar untuk membincangkan perkara-perkara sensitif jika ada kehadiran mereka yang bukan Islam di dalam mesyuarat parti.

Alasan tersebut amat megejutkan sekali kerana ia hanya membuktikan seolah-olah Pas mengamalkan double standard dalam memberikan kenyataan. Apabila berada di depan DHPP mereka cakap lain dan apabila berada di belakang mereka akan cakap lain.

Sebagai salah sebuah sayap Pas DHPP sepatutnya dianggap sebagai salah satu daripada komponen penting parti yang mana mereka mestilah dipupuk agar memahami aspirasi Pas tanpa ada agenda terselindung. Tidak ada apa yang perlu diselindungkan dalam perjuangan Islam kerana Islam memberikan keadilan kepada semua hatta kepada binatang serta tumbuhan sekalipun, apatah lagi kepada manusia.

Dengan tidak menyertai sebarang mesyuarat pusat, maka apakah gunanya DHPP ditubuhkan. Tidak hairanlah mereka tidak mempunyai saluran bagi menyatakan ketidak puasan hati mereka dan tidak ada ruang untuk memperjelaskan segala silap faham secara formal dan tertutup.

Jika beginilah keadaan DHPP, elok jika ianya dibubarkan saja dan dikekalkan sebagai hanya sebuah kelab penyokong Pas. Pas sebenarnya belum bersedia untuk menjadikan Parti mereka sebagai Parti pelbagai kaum dan agama yang menjadikan Islam sebagai tunggak perjuangan menegakkan keadilan.

Dr Mujahid sebagai orang yang berusaha menubuhkan Kelab Penyokong Pas dan seterusnya berjaya menjadikan ianya sebagai salah satu sayap parti perlu menangani masalah tersebut sebelum DHPP merasakan mereka hanyalah pelakon tambahan yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam parti.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License