Ketuanan Melayu - Apa Orang Politik Dok Heboh Ni?

Wednesday 1 December 2010

Siapa yang kaitkan keris dengan orang Melayu?
Sejak ucapan Presiden PKR Wan Azizah yang berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan melayu, sampai hari ini hampir keseluruhan media memutarkan isu tersebut hari demi hari, sampai saya naik muak dan akhirnya tertanya juga apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Ketuanan Melayu itu.

Rujukan kamus dewan bahasa, Ketuanan bermaksud, "Hak memerintah atau kekuasaan". Dalam kamus dewan edisi ke-4, Ketuanan memberi makna, "Hak menguasai dan memerintah sesebuah negeri, daerah dll" juga membawa maksud "Kedaulatan".


Rujuk pula makna Tuan dalam kamus dewan membawa maksud, "Rujukan bagi orang lelaki yang berpangkat atau yang patut dihormati". Tuan juga membawa maksud, "Orang tempat menghambakan diri".

Kembali kepada makna Ketuanan Melayu kita dapat merumuskan dari definisi ketuanan di atas sebagai, "Hak memerintah atau kekuasaan atau hak menguasai dan memerintah sesebuah negeri atau daerah yang ada pada orang Melayu".

Merujuk pada pakar sejarah kita Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim di sini, konsep yang ada termaktub dalam perlembagaan adalah Ketuanan Raja-Raja Melayu, hak memerintah dan menguasai yang ada pada raja-raja melayu di setiap negeri yang beraja, ini tak dapat di pertikaikan oleh sesiapa kerana ada termaktub dalam perlembagaan.

Dari percakapan mereka yang menentang Konsep Ketuanan Melayu, yang tak adapun dalam perlembagaan, mereka beranggapan wujudnya fahaman sesuatu golongan bahawa Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang hebat melebihi bangsa lain khasnya di negara kita Malaysia, maka dalam segala hal bangsa Melayu mendapat layanan dan kedudukan yang istemewa.

Jika ada orang yang percaya bahawa Bangsa Melayu melebihi darjat keistimewaannya terhadap bangsa yang lain, maka sebenarnya dia mempunyai ciri-ciri kepercayaan bangsa Yahudi yang sesat. Ternyata kepercayaan seperti itu meleset dan jauh dari kebenaran. Saya yakin semua orang Melayu yang beragama Islam, faham bahawa tiada sebarang keistimewaan pada mana-mana bangsa sekalipun sebagai mana firman Allah,


[12]

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
[13]
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

 Petikan dari Surah Al-Hujurat

Apa yang berlaku dalam percaturan pengurusan negara kita adalah orang Melayu mendapat banyak pertolongan dan keutamaan daripada kerajaan, bukan kerana Bangsa Melayu itu istemewa dari segi darjatnya, malah sebaliknya kerana Bangsa Melayu ada banyak kekurangan dari banyak segi terutamanya ekonomi.

Hal tersebut di atas adalah salah satu jalan penyelesaian yang dipilih oleh kerajaan yang memerintah dalam menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh Bangsa Melayu. Sudah tentu ada cara penyelesaian yang lain yang mungkin lebih baik atau sama baik, yang bermatlamat sama iaitu menyeimbangkan kedudukan orang Melayu dengan bangsa lain di negara kita, cuma cara pendekatannya sahaja berbeza.

Sepatutnya orang politik membahaskan metodologi pengurusan tersebut daripada mencetuskan perbalahan perkauman. Sebagai contohnya mungkin pembangkang mencadangkan jalan penyelesaian secara keras terhadap orang Melayu melalui konsep meritokrasi.

Siapa yang layak ia akan mendapat peluang tanpa mendiskriminasikan atau mengutamakan mana-mana bangsa. Banyak contoh kita lihat bangsa atau manusia yang dimanjakan hanya akan melahirkan umat yang lemah dan tidak mempunyai daya saing.

Berkemungkinan setelah merdeka sekian lama dan berbillion wang dibelanjakan bagi membantu kedudukan ekonomi orang Melayu, kita masih tidak ke mana-mana berpunca dari layanan manja kerajaan terhadap orang Melayu. Malah orang Cina terutamanya yang kurang mendapat tongkat dari kerajaan semakin kuat dan berdaya saing melebihi orang Melayu.

Contoh di atas hanyalah sekadar contoh, sesuatu cadangan metodologi perubahan menguruskan masyarakat memerlukan satu kajian yang mendalam dan cara perlaksanaan yang terperinci, bukan boleh main sedap cakap sahaja seperti mana yang banyak diamalkan oleh orang politik, mereka bercakap semata untuk meraih populariti dan mendapat sokongan masyarakat.

Cukuplah sekadar itu celotehan panjang kali ini, yang penting sekali kita mesti ingat ialah, bangsa apa saja samada Melayu, Cina, India, Arab, Portugis, Campuran atau apa saja, bukan untuk dibanggakan dan untuk mendabik dada. Yang membezakan kita adalah kemuliaan akhlak, peribadi atau lebih tepat lagi Taqwa, itulah mereka yang mulia sebenarnya, tak kira apa bangsa.

Anda boleh juga baca isu yang sama di sini, dan katakan pada mereka semua, "hai orang-orang politik, cukuplah tu..."
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License