Taktik kotor Umno kerana rakyat semakin memilih Pakatan Rakyat
Menjelang pilihanraya umum ke 13 ini, PKR ingin memaklumkan rakyat bahawa mereka hendaklah bersedia menghadapi pilihanraya umum yang paling kotor dalam sejarah negara.
Di sebalik keyakinan yang cuba ditonjolkan pemimpin UMNO melalui media arus perdana, wujud kekhuatiran yang ketara di kalangan pemimpin tertinggi BN.
Selain dari manipulasi dan pengawalan maklumat melalui media arus perdana, jentera kerajaan disalahgunakan untuk memenangkan BN.
Duit cukai rakyat digunakan untuk melalikan rakyat dari hakikat bahawa daya saing negara semakin merosot dan pencapaian ekonomi negara tidak seimbang.
Kepimpinan tertinggi UMNO tahu masa depan mereka telah pudar. Walau pun kepimpinan UMNO cuba memberi gambaran mereka yakin akan menang, kita sedia maklum berbagai maklumat perisikan yang mereka terima telah memberi penilaian bahawa BN akan tewas pada pilihanraya umum ke 13 yang menjelang tiba.
Inilah sebabnya Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak terpaksa berterusan menangguh pembubaran Parlimen.
UMNO sebenarnya sedang mengalami kegusaran dan krisis keyakinan.
Dalam kegusaran ini, UMNO mula mengambil tindakan-tindakan yang terdesak. Dua teras utama taktik yang diambil UMNO hari ini ialah menakut-nakutkan orang Melayu dan menggunakan askar-askar upahan di ruang-ruang blog untuk mereka-reka dan menyebarkan video-video palsu yang kononnya memaparkan salahlaku seks pemimpin-pemimpin PKR.
Taktik pertama melibatkan menakut-nakutkan masyarakat Melayu bahawa masa depan mereka akan tergadai jika Pakatan Rakyat memerintah, walau pun UMNO lah sebenarnya yang menggadaikan kepentingan orang Melayu selama ini.
Taktik kedua ialah menggunakan dakwaan salahlaku seks. Selain dari video palsu yang cuba mencemarkan nama baik Dato Seri Anwar Ibrahim, kita mendapat maklumat dari sumber-sumber yang boleh dipercayai bahawa beberapa video palsu seks beberapa orang pemimpin lain PKR akan diterbitkan.
Video-video ini merupakan manipulasi imej digital yang melibatkan pencantuman babak-babak yang tidak berkaitan untuk memberi gambaran pemimpin-pemimpin berkenaan terbabit dalam salahlaku seks.
PKR ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa sudah menjadi lumrah perjuangan bahawa mereka yang berada di barisan kebenaran akan diuji dengan sengit.
Nabi Yusuf AS, Maryam AS dan Aishah RA semuanya diuji dengan dakwaan seksual. Jika insan-insan mulia ini diuji sebegini rupa, sudah tentulah insan biasa seperti kami tidak akan terlepas dari dugaan dan fitnah.
Fitnah dan tuduhan-tuduhan seksual palsu yang bertubi-tubi ini hanya meyakinkan kami akan ketulusan perjuangan kami. Ia hanya mengukuhkan keazaman kami untuk terus mara ke hadapan.
Dan kami yakin video-video palsu ini akan dilihat rakyat sebagai taktik politik UMNO yang terdesak, jijik dan keterlaluan.
Kami yakin rakyat Malaysia akan berdiri teguh dengan kebenaran dan tidak akan mudah diugut atau diperdayakan oleh tipu helah serta muslihat kotor UMNO.
Mereka akan membuat pilihan yang bijak dan membina masa depan negara yang lebih cerah dengan memilih Pakatan Rakyat.
Dato’ Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment