Hujah mangkaq Ketua Kanak-Kanak Umno (KJ) - Diketawakan YB Khalid

Wednesday, 31 October 2012

Setelah gagal mempertahankan amalan kronisma dalam pemberian konsesi penjanaan kuasa kepada syarikat IPP, Ketua Pemuda UMNO terpaksa menggunakan hujjah terakhir yang paling lekeh iaitu dengan menuduh PR bersikap hipokrit! Ini, menurutnya, adalah kerana kerajaan Negeri Selangor mempunyai saham sebanyak 25% dalam Genting Sangyen melalui anak sayrikatnya dan tidak menjualnya tetapi sebaliknya turut menikmati keuntungan dari konsesi yang dikutuk mereka.

HUJJAH KEBUDAK-BUDAKAN
Bila mendengar hujjah ini, saya tidak dapat menahan diri dari tergelak kerana teringat semasa zaman remaja apabila seorang rakan ditangkap guru kerana merokok dan dia memberi alasan kepada guru tersebut bahawa ramai lagi yang merokok juga! Begitulah bagi saya taraf hujjah yang dibawa Ketua Pemuda UMNO! Kalau sudah bersalah itu mengaku sahajalah dan terima sahajalah hukuman yang telah ditetapkan untuk kesalahan tersebut. Tidak perlulah menegakkan benang yang basah dengan membabitkan pihak lain.

Dia harus ingat, bahawa dia adalah Ketua Pemuda dan bukannya ketua remaja atau kanak-kanak UMNO. Maka perlu berhujjah atas dasar diberikan konsesi sedemikian rupa dan bukannya faktor sampingan seperti anak syarikat kerajaan Selangor ada saham!



Hakikat sebenarnya ialah saham kerajaan Negeri Selangor dalam Genting Sangyen telah dibeli pada zaman kerajaan UMNO/BN. Apabila PR mengambil alih, saham itu telahpun merupakan milik anak syarikat kerajaan Negeri Selangor. Mungkin sekiranya PR memerintah sebelum ini, semasa konsesi itu mahu diberi, maka PR tidak akan membelinya dan akan menentang pemberian konsesi tersebut di semua peringkat. Namun ianya telahpun menjadi milik anak syarikat kerajaan Negeri Selangor dan terpaksa menilai samada perlu menjualnya atau sebaliknya.

SEBAB PR MENENTANG KONSESI IPP: MENGUNTUNGKAN KRONI
Dalam membuat keputusan untuk menjual atau sebaliknya, maka perlulah mengambil kira sebab-sebab mengapa konsesi sedemikian rupa ditentang. Alasannya ada dua: 
  • Pertama, ianya mengkayakan kroni tertentu dengan memberi mereka layanan yang cukup istimewa dari segi harga dan jaminan keuntungan. Rakyat tidak mendapat sebarang manfaat.
  • Kedua, harga yang terhasil adalah tinggi dan ianya merugikan rakyat.

Apabila ditimbangkan, didapati bahawa dengan menjual saham syarikat tersebut, khususnya kepada pihak swasta, sekiranya ada yang berminat, maka ianya akan menguntungkan pihak swasta berkenaan. Pihak swasta atau individu tertentu akan menikmati keuntungan dari konsesi ini dan keuntungan tersebut tidak akan dinikmati rakyat sama sekali. Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan bercanggah dengan pendirian PR!

Kita semua sedar dan faham bahawa PR menentang penswastaan ini di atas dasar ianya menguntungkan individu dan bukannya rakyat. Sekiranya konsesi tersebut diberi kepada mana-mana GLC, maka ianya mungkin tidak menjadi sesuatu yang boleh dianggap penyelewengan. Kemungkinan besar, harga pun akan lebih munasabah! Harga tinggi yang luar biasa diguna-pakai untuk konsesi ini kerana tujuan asal adalah untuk menguntungkan kroni. Ianya tidak ditetapkan atas dasar amalan serta pertimbangan komersial yang biasa.

Oleh yang demikian keputusan untuk tidak menjualnya kepada pihak swasta adalah keputusan yang konsisten dengan pendirian PR! Keuntungan akan dinikmati oleh syarikat milik kerajaan Negeri dan ianya dapat dipulangkan kepada rakyat negeri berkenaan. Ini adalah jauh lebih baik dari menjualnya kepada pihak swasta.

Walaupun masalah beban pada rakyat tetap tidak dapat diatasi, tidak wajar untuk kita melakukan kesalahan kedua dengan memperbanyakkan keuntungan kepada syarikat kroni! Pepatah Bahasa Inggeris menyebut, “two wrongs do not make a right” atau “dua kesalahan tidak menjadikan tindakan itu betul”. Pepatah ini adalah adik beradik dengan pepatah “syaitan yang dikenali…”

MEMUDAHKAN PENGAMBIL-ALIHAN
Pada masa yang sama, dengan kerajaan Negeri memiliki 25% saham dalam Genting Sangyen, ini akan memudahkan pengambil-alihan oleh kerajaan PR sekiranya berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat. Ini adalah kerana kerajaan Negeri Selangor tidak akan berusaha untuk menggagalkan pengambil-alihan dengan menetapkan harga yang tinggi dan tidak munasabah. Oleh itu, penjualan saham berkenaan kepada pihak yang mungkin ‘antagonistic’ atau bermusuhan terhadap kerajaan PR boleh menyulitkan lagi usaha PR untuk menamatkan konsesi tersebut.

Walaupun kerajaan PR Negeri Selangor mendapat manfaat dari konsesi ini, PR akan sanggup menyerahkannya kepada pihak kerajaan Pusat untuk dimansuhkan konsesi tersebut kerana mementingkan rakyat dari segala yang lain. Ini terbukti dalam kes SYABAS! Walaupun kerajaan Negeri melalui KDEB mempunyai 30% saham dalam SYABAS, namun kerajaan negeri membantah kenaikan tariff air. Kenaikan harga menguntungkan KDEB tetapi kerajaan Negeri tidak mahu mendapat untung atas kesengsaraan rakyat.
Oleh itu, menambahkan saham dalam milik kerajaan adalah yang lebih wajar tetapi bukan sebaliknya.

TIADA YANG MINAT UNTUK MEMBELI
Saya juga turut dimaklumkan bahawa sebenarnya tiada pihak yang berminat untuk membeli saham Genting Sangyen tersebut pada ketika PR mengambil-alih kerajaan Negeri Selangor. Ini adalah kerana konsesi berkenaan hanya tinggal beberapa tahun sahaja lagi. Baki jangka masa yang pendek menyebabkan pelaburan dalam perniagaan berkenaan tidak begitu menarik.

Sebenarnya, sekiranya kerajaan Pusat memilih untuk tunggu sehingga tempoh konsesi tamat, maka 1 MDB boleh membeli loji penjanaan kuasa IPP Genting Sangyen dengan harga yang jauh lebih murah. Mungkin pembelian boleh dilakukan atas dasar ‘book value plus’ kerana keuntungan yang melimpah ruah telahpun diperolehi sepanjang tempoh 30 tahun yang asal!

Ini yang menimbulkan persoalan mengapa tempoh konsesi ditambah selama 10 tahun sempena pembelian oleh 1MDB dimuktamadkan. Harga yang ditawarkan mengambil kira tempoh konsesi tambahan. Ini jelas merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat demi memberi harga tambahan kepada syarikat kroni dan memaksa 1MDB membelinya dengan harga yang tinggi.

Sambil hutang Negara membengkak, amalan kronisma tetap diamalkan BN tanpa segan silu.

KESIMPULAN
Jelas dari apa yang dibentangkan di atas bahawa tuduhan ‘hipokrit’ dan sebagainya yang dilemparkan terhadap kerajaan PR Negeri Selangor adalah tidak wajar sama sekali. Ianya hujjah yang ingin menutup kepincangan sendiri. Namun rakyat semakin sedar siapa sebanarnya yang ‘hipokrit’. Retoriknya ‘rakyat diutamakan’ tetapi rakyat ditipu disetiap persimpangan. Sekiranya PRU ke-13 membawa pembaharuan dan kerajaan PR memerintah diperingkat Pusat maka insyaAllah akan diperbetulkan segala yang diputar-belitkan sehingga rakyat akan sebenar-benarnya menjadi keutamaan.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Share on :

2 comments:

  1. Memang puak PR hipokrit, salah orang kecoh...salah sendiri buat tak tau

    ReplyDelete
    Replies
    1. my be saham tu dibeli pada hari pertama PR menang 2008.... hahhahahahahahaaaaa

      Delete

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License