Penggunaan Dakwat Kekal - Perkasa Tak Mahu Keluar Mengundi

Wednesday, 21 December 2011

Setiausaha agong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali, membuat kenyataan tidak akan keluar mengundi jika SPR meneruskan rancangan mereka untuk menggunakan dakwat kekal sebagai salah satu prosedur dalam pilihanraya yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Dia juga mendakwa bahawa semua orang Melayu tidak akan keluar mengundi terutamanya ahli-ahli Perkasa. Perkasa juga menuduh bahawa pihak yang menggesa penggunaan dakwat kekal bertujuan untuk memastikan bahawa orang Melayu dan Islam tidak akan keluar mengundi.

Ini menurut mereka akan merugikan orang Melayu dan Islam itu sendiri apabila mereka tidak keluar mengundi dan keputusan pilihanraya berada di tangan orang bukan Melayu dan juga bukan Islam.


Jika sebelum ini presiden Perkasa Ibrahim Ali menolak penggunaan dakwat kekal atas alasan ia menghalang orang Islam daripada berwuduk, kini mereka menggunakan alasan bahawa mereka merasa malu kerana negara kita menggunakan cara yang kolot dan terkebelakang dalam pilihanraya.

Alasan ini amat pelik kerana mereka tidak pula menyatakan kepada siapa mereka malu? adakah kepada penduduk negara kita sendiri atau kepada negara lain di luar sana. Kalau nak malu pada penduduk negara kita sendiri nampaknya ia amat melucukan kerana selama ini mereka tidak pula malu untuk mengapi-apikan isu perkauman dalam semua hal.

Kalau mereka malu kepada orang luar daripada lain negara, mereka tidak pula pernah menjadi wakil dalam mana-mana persidangan antara bangsa dan tidak adapun yang sudi menjemput kaum yang ekstrim yang kerjanya asyik mencabar orang kehulu dan kehilir.

Daripada kenyataan mereka selama ini, nampak terang mereka merupakan orang-orang yang bakal memangkah calon Barisan Nasional atau Umno terutamanya. jadi jika mereka semua tidak keluar mengundi nampaknya kerugian berada di pihak Umno. Apakah Umno akan berbuat sesuatu bagi memastikan orang-orang Perkasa keluar mengundi.

Kalau dilihat dari segi kekuatan mereka, saya tidak rasa Umno menganggap Perkasa itu penting. mereka hanyalah sebuah kumpulan yang sekadar bertindak memerihakan suasana negara sahaja tanpa ada apa-apa sumbangan yang membina ke arah memperkasakan negara Malaysia, malah semua tindakan mereka hanyalah menyerlahkan sikap terkebelakang mereka sahaja.

Orang Melayu tidak akan maju hanya dengan kuat bertempik dan orang Melayu yang sentiasa merasakan diri mereka tergugat sebenarnya hanya menzahirkan diri mereka yang tidak ada apa-apa kelebihan dari semua sudut. Perkasa selama ini hanya mahu meneruskan agar orang Melayu terus diberikan tongkat untuk bersaing di dalam negara sendiri. Sampai bila nak jalan sendiri.

Walau apapun semuanya adalah belum pasti kerana SPR masih lagi menunggu keputusan majlis fatwa samada penggunaan dakwat 'halal' atau tidak untuk digunakan dalam pilihanraya. Dakwt yang bakal digunakan nanti mengandungi 4% bahan 'Silver Nitrate' yang akan menyerap ke dalam kulit pengundi bagi memastikan ianya kekal dan tahan untuk beberapa waktu yang diperlukan. Semakin tinggi kandungan peratusan bahan itu semakin lama ia akan kekal.

Kita tunggu keputusan majlis fatwa nanti. Jika keputusan adalah positif dan dakwat kekal bakal digunakan saya yakin Perkasa akan turun juga mengundi. Selama ini mereka tak pernah mampu buat apa yang mereka cakapkan!
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License