Pelajar Universiti Akan Turun Ke Jalan Bantah Penggantungan Prof Abdul Aziz Bari

Monday, 24 October 2011

Ramai yang tak setuju dengan tindakan UIA menggantung prof undang-undangnya hanya kerana memberikan pendapat dari segi perlembagaan terhadap titah perintah Sultan Selangor. Ini dilihat sebagai satu tindakan menyekat golongan akedemik menyatakan pendapat mereka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Memang pihak universiti berhak memecat sesiapa saja yang difikirkannya tidak layak atau terlibat dalam masalah disiplin seperti mencabul pelajar atau lain-lain yang seumpama dengannya. Tetapi semua itu tidak ada pada Prof Aziz Bari. Malah prof Aziz Bari sejak dahulu sehingga sekarang tidak pernah jemu cuba menyedarkan masyarakat kita untuk menjadi peka terhadap perlembagaan negara kita.


Beliau sentiasa menganalisa segala pergolakan politik yang berlaku di negara kita dan cuba mengulasnya berdasarkan perspektif perlembagaan berdasarkan pengetahuannya agar orang ramai mendapat maklumat dan terdedah kepada aspirasi yang termaktub pada perlembagaan.

Jika ada orang yang sentiasa mempromosikan perlembagaan untuk diikuti dan dijadikan landasan pentadbiran dianggap jahat dan tidak layak menjadi pensyarah, maka siapa lagi yang boleh kita harapkan untuk mendidik anak-anak kita. 

Kita tidak sepatutnya membiarkan mereka yang hanya sanggup menjadi pak turut dan kaki kipas kepada kerajaan yang memerintah untuk menjadi para pendidik kepada anak-anak kita. Tidak ada negara yang maju ke depan jika semua golongan yang mengkritik dimasukkan ke dalam guni dan dibuang ke laut.

Tindakan sekumpulan pelajar yang mengambil risiko membantah apa yang berlaku pada prof Aziz Bari amat melegakan, sekurang-kurangnya kita masih boleh menaruh harapan pada bakal pemimpin masyarakat ini untuk menjadi warga negara yang peka dan sanggup mengambil risiko demi mempertahankan prinsip.

University students to take to the streets | Free Malaysia Today:
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License