Bagaimana Cara Menunggu Pencuri Tanpa Dapat Dikesan Oleh Mereka

Saturday, 15 October 2011


Betulkah ada orang yang ada ilmu meresap dan ilmu firasat. Kalau tak betul kenapa kita biasa mendengar kononnya ada orang-orang tertentu yang boleh meresap ketika dikepung dan tak hadir ketika mahu diperangkap.

Salah satu cerita popular di kalangan orang kampung dulu adalah kehebatan Rasyid Maidin dari Parti Komunis Malaya yang mampu melepaskan diri walaupun banyak kali diburu dan dikepung. Mereka juga tak akan muncul-muncul ketika dipasang perangkap.

Mat Indera yang dipopularkan oleh Mat Sabu baru-baru ini juga mempunyai versi lagendanya sendiri apabila dikatakan terpaksa dilemahkan ilmu kebal serta ilmu meresapnya melalui penggunaan daun kecubung. Kalau kat kampung saya dulu samseng kampung yaang terlibat dengan aktiviti jualan ganja besar-besaran juga dikatakan ada ilmu meresap dan ilmu firasat itu.


Pada tahun awal 90-an dulu kawasan utara tanah air seperti di Pulau-Pinang dan juga Kedah dilanda dengan kes pecah rumah yang begitu teruk. Kes pecah dan masuk rumah biasa terjadi serentak di dua atau tiga tempat dalam satu malam. Desas-desus mengatakan para pemecah masuk rumah orang mempunyai ilmu pukau dan ilmu meresap yang hebat.

Pengalaman melalui zaman kes pecah rumah di kampung Penanti pada awal 90-an itu mendedahkan saya pada ilmu meresap dan ilmu firasat musang. Rupa-rupanya memang kita boleh meresap hilang ketika dikejar orang ramai atau ketika dikepung satu kampung. Kita juga boleh mematahkan ilmu firasat pencuri dan membuatkan mereka tak tahu kita sedang menunggu mereka.

Tak payah baca apa-apa dan tak payah jampi serapah. Begini ceritanya.

Oleh kerana kejadian pecah rumah terlalu menjadi-jadi pada masa itu, maka orang kampung sepakat untuk mengadakan aktiviti kawalan sepanjang malam. Keluarga mana yang ada anak muda lelaki akan pastikan mereka menghantar wakil manakala mereka yang tak ada akan menyumbang makanan dan minuman kepada mereka yang berkawal.

Hebatnya pencuri atau orang utara panggil "kawaq" ini mereka tetap datang walaupun mengetahui orang kampung melakukan rondaan. Ada banyak kejadian mereka masih berjaya pecah masuk dan kencing dalam rumah orang untuk tunjuk hebat. Orang kampung makin marah. Kawal punya kawal sebulan berlalu masih tak berjaya tangkap kawaq sehingga ramai yang mula putus asa.

Saya ketika itu pulang bercuti musim panas ke kampung dan aktiviti kawal kampung sudah tentu amat menyeronokkan. Akibat daripada pengaruh duduk kat Perancis, maka kepercayaan pada ilmu karut marut agak mula menipis dan kuranglah rasa takut ketika meronda waktu malam.

Tapi agak pelik juga melihat telatah kawaq yang seolah-olah tahu, di mana saja orang berkawal di situ tidak akan dilaluinya. Kalau kita berkawal di atas dia akan masuk di bawah dan begitulah sebaliknya. Lalu terdengarlah petua dari seorang tua raja kawaq ketika zaman mudanya dulu.

Katanya, kebiasan kawaq itu mempunyai ilmu musang yang membuatkan mereka mampu mengesan di mana orang menunggu mereka. Dengan ilmu itulah dia sentiasa lepas daripada perangkap. Macam nak percaya juga dengan katanya itu sebab memang jadi macam tupun sepanjang berkawal.

Raja kawaq lalu menurunkan petua yang mudah untuk membuatkan ilmu musang kawaq tak menjadi. Petuanya adalah dengan memastikan orang yang menunggu atau berjaga itu tidak memijakkan kaki mereka di atas tanah. Jadi buatlah apa saja asalkan jangan pijak di atas tanah. Kita boleh menunggu di atas pokok atau duduk bertinggung atas kerusi.

Mendengar petua mudah tersebut saya rasa tak ada salahnya untuk mengikutinya mungkin ada penerangan saintifik terhadap petua raja kawaq tersebut. Maka pada malam itu saya serta 2 orang lagi rakan mengambil sebuah kerusi panjang dan ketiga-tiga kami duduk bertinggung di atas kerusi tersebut di tengah kawasan semak hutan pokok pisang.

Rupa-rupanya memang betul kata raja kawaq, geng pencuri seramai 3 orang benar-benar lalu di depan kami terhendap-hendap punyalah dekat sehingga bisikan salah seorang dari mereka yang membisisk, 'syhhhh! ada orang berjaga di depan sana...' dapat kami dengari. Mereka tahu ada kumpulan 3 orang berjaga jauh di hujung jalan tetapi tak sedar ada 3 orang lagi duduk bertinggung betul-betul di sebelah mereka.

Saya sambung ceritanya selepas ini dan perturunkan pula petua bagaimana meresap ketika dikepung orang ramai yang saya pelajari ketika mengejar kawaq.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License