PRK Lagi...PKR !, Jangan main-main !!!
Friday, 17 April 2009
Sekali lagi kita akan melalui PRK di Penanti. Gara-gara ADUN kawasan tersebut Mohammad Fairus Khairuddin meletakkan jawatan. Belum lagi hilang keletihan yang dialami pada PRK di Bukit Gantang, Bukut Selambau dan Batang Ai, kita dipanggil semula untuk memberikan tumpuan di Penanti.
Nampaknya PKR memang sering membuat kejutan demi kejutan kepada rakyat Malaysia. Semenjak dari PRU12 dulu PKR dilanda dengan berbagai-bagai masalah, terutamanya daripada calon-calon mereka yang telah menang dalam PRU12 lalu.
Apa yang boleh kita rumuskan dari luar ialah parti tersebut dipelopori oleh banyak pemimpin yang bermasalah. Ia menampakkan seolah-olah yang kebanyakan calon yang dipilih bertanding ketika PRU12 lalu adalah mereka yang terdiri daripada calon bidan terjun. Juga menunjukkan PKR mempunyai sistem memilih kepimpinan yang tidak mantap, atau mungkin mereka lansung tidak ada satu prosedur yang jitu dalam membuat pemilihan calon.
Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepimpinan PKR yang lain sepatutnya sedar perkara ini sejak mula lagi sebelum mengumumkan hasratnya untuk menawan Putrajaya. Inilah yang dijangkakan oleh para penyokong mereka atau umumnya para penyokong PR. Apabila sebilangan besar pengundi mula menaruh kepercayaan untuk memberi mereka peluang dan ruang bertapak di persada politik Malaysia, mereka dikejutkan dengan pimpinan yang tidak tetap pendirian, tidak punyai daya tahan dan juga punyai masalah moral.
Tidak tetap pendirian dalam memperjuangkan sesuatu parti boleh menunjukkan samada parti tidak punyai agenda yang jitu atau berpunca dari individu itu sendiri punyai agenda peribadi yang tidak seiring dengan agenda parti. Tidak tahan tekanan dan serangan dari musuh politik juga menunjukkan yang individu itu tidak layak menceburkan diri dalam arena politik.
Yang amat menghairankan saya ialah bagaimana DSAI dengan penuh yakin melaungkan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri dengan keadaan para calonnya yang tidak mampan. Kalau setakat Komandan saja yang kuat sedangkan perajurit di bawah lemah, jangan harap mahu tewaskan musuh. Tiada satu bala tenterapun yang boleh menang dengan hanya berharap pada kekuatan ketuanya seorang.
Siri kejadian yang berlaku dalam PKR sedikit sebanyak membuat penyokong PR dalam parti PAS dan DAP terpaksa memikirkan semula kedudukan mereka dalam Pakatan tersebut. Rata-rata mereka yang saya perbualkan dalam isu ini dari penyokong PAS menyatakan kekecewaan mereka terhadap pimpinan PKR atau lebih tepat lagi terhadap DSAI. Ramai yang memberikan cadangan agar calon yang bakal bertanding di Penanti nanti diambil dari pimpinan PAS dan bukan dari kalangan PKR.
Sebagai orang Penanti saya juga berkeyakinan jika PAS yang bertanding di situ, kemenangan adalah lebih mudah kerana majoriti penduduk Melayu disitu adalah terdiri daripada para penyokong PAS yang setia dan kuat bekerja. Dengan meletakkan calon PAS juga, secara tak lansung dapat memujuk kekecewaan para penyokong PAS seluruh Malaysia terhadap DSAI.
Namun saya rasa itu adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh DSAI memandangkan isu calon di DUN Penanti bukan sekadar isu wakil orang kampung sahaja, ia sudah tentu melibatkan isu kepimpinan orang Melayu di Pulau Pinang itu sendiri. PKR ketandusan wakil yang dapat diletakkan sebagai pengemudi rakyat berbangsa Melayu di Pulau Pinang keseluruhannya. Memberikan laluan kepada calon PAS merupakan satu pengorbanan yang besar yang tak mungkin DSAI dapat lakukan. Tapi hakikatnya itulah jalan yang lebih selamat jika mahu memujuk rakan mereka dari para penyokong PAS.
Daripada persidangan kedai kopi, saya ada juga mendapat ulasan kononnya fenomena mengadakan PRK yang bertali arus sengaja dirancang oleh PR bagi meniupkan bara kebangkitan rakyat sehingga ke PRU13 nanti dan seterusnya memudahkan kemenangan PR bagi memerintah Malaysia. Saya berpendapat jika benar begitu, ia merupakan satu kerja Pak Pandir yang sengaja mahu menempah kemarahan rakyat. Saya harap DSAI dan kepimpinan PR tidak akan berfikiran secetek itu.
Juga ada cerita yang mengatakan bahawa Fairus telah dijadikan mangsa perancangan jahat oleh musuh yang duduk dalam selimut yang irihati dan tidak senang dengan kejujuran dan kebendulannya. Jika PKR sanggup bertolak ansur dengan Miss Elly mengapa tidak dengan dia. Jika dia tidak berfungsi dengan baik mengapa tidak diberi tunjuk ajar dan memberikan sokongan agar dia dapat berkhidmat dengan lebih baik.
Ada yang berpendapat kumpulan lain dari PKR mahukan jawatan yang dipegang oleh Fairus.
Apapun cerita yang sebenarnya berlaku, PKR secara umumnya hanya mengecewakan para penyokong mereka dari PAS dan DAP. Sesuatu yang drastik harus dilakukan oleh DSAI jika mahu terus disokong oleh mereka.
Sebaiknya PKR memberikan penumpuan kepada menaiktarafkan para YBnya juga para kepimpinannya agar lebih berdaya tahan dan memberikan kursus intensif kepada semua YBnya dan kepimpinannya kearah menjadi wakil rakyat atau pemimpin yang berkaliber dan berintegriti. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang tidak memperjuangkan kepentingan peribadi. Jangan jadi pemimpin jika anda ada agenda peribadi dan jangan pilih pemimpin yang mengutamakan agenda peribadi.
Dan jangan lupa untuk mengadakan satu kriteria pemilihan calon yang jitu. Kalau tak ada calon yang memenuhi kriteria yang diperlukan, elok tubuhkan satu kolej bagi melahirkan ahli politik yang mantap dan berintegriti, buat satu kursus Diploma atau Ijazah Wakil Rakyat. Jangan permainkan rakyat dengan janji-janji kosong yang tak mampu untuk dipenuhi. Rakyat dah muak dengan pemimpin yang cakap tak serupa bikin.
Labels:
# Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
menyebarkan gambar yang diedit = menyebarkan berita tidak benar (pembohongan)
ReplyDelete