Sambutan Ulangtahun DAP Ke 45 Di Pulau Pinang - Bergambar

Thursday 4 August 2011

Sabtu malam ahad hujung minggu baru-baru ini satu majlis makan malam sempena sambutan ulang tahun DAP ke 45 tahun diadakan di Pulau Pinang. Majlis tersebut juga diadakan bagi meraikan ulangtahun perkahwinan Karpal Singh yang juga ke 45 tahun.


Apa yang boleh saya rumuskan melihat ucapan atau pidato para pimpinan yang hadir ialah era LIM Kit Siang dan juga Karpal Singh sebenarnya sudah berada di saat penghujung mereka. Mereka sebenarnya boleh tersenyum puas dan berbangga dengan pencapaian parti yang mereka dukung selama ini dengan munculnya pimpinan muda yang mampu mengambil alih kepimpinan mereka.

Ucapan YB Saifuddin Nasution yang mewakili PKR juga walaupun ringkas namun padat dan mencerminkan keupayaan pimpinan muda tersebut sebagai pelapis yang mampu menerajui PKR menggantikan Anwar Ibrahim.

Bekas speaker DUN Perak yang disingkirkan V Sivakumar pula masih lagi mengimbau kenangan segala apa yang telah berlaku pada pemerintahan PR yang telah digulingkan di sana. Satu rahsia yang didedahkannya malam itu adalah terdapatnya secebis lagi baju speaker dewan DUN yang berjaya disimpannya di satu tempat rahsia sehingga sekarang.

Dia yakin dalam masa yang terdekat negara akan berjaya juga di kuasai oleh Pakatan Rakyat dan pada masa itu cebisan kain baju speaker dewan akan di keluarkannya untuk di abadikan di muzium sebagai satu sejarah perebutan jawatan speaker dewan undangan negeri Perak.

Sivakumar juga mengaitkan cerita hantu daripada pelbagai bangsa dengan Umno. Dia seorang yang amat meminati cerita hantu. Satu perkara yang diperhatikannya semua jenis hantu dari pelbagai bangsa berkongsi satu perkara yang sama.

Hantu orang barat akan lari jika melihat salib. Hantu orang melayu pula lari jika melihat ayat-ayat suci Al-Quran. hantu cina pula akan lari apabila ditunjukkan mentera-mentera tulisan, hantu India juga akan lari apabila ditunjukkan sami mereka. Semua ini ada persamaan dengan hantu Umno yang amat takut apabila ditunjukkan perkataan Bersih dan kuning.

YB Saifuddin dalam ucapannya menekankan betapa sekarang ini rakyat boleh melihat rekod kecemerlangan pemerintahan PR di negeri-negeri yang mereka perintah. PR sudah ada sesuatu yang boleh ditunjukkan kepada rakyat bahawa mereka juga mampu memerintah malah dengan lebih baik lagi daripada BN.

Jika BN memerintah dengan prinsip akan tolong orang cina jika orang cina tolong MCA, akan tolong orang melayu jika melayu tolong Umno dan akan tolong orang India jika orang India tolong MIC, Pakatan Rakyat pula yakin dengan prinsip bahawa mereka akan tolong melayu, cina atau india asalkan mereka benar-benar memerlukan pertolongan. PR tolong orang kerana mereka memerlukan pertolongan dan bukanlah kerana pertukaran kepentingan.

Satu saja komen yang saya tak berapa faham ialah kenapa tiada wakil dari PAS yang berucap di pentas pada malam tersebut. Adakah mereka tidak dijemput atau mungkin dijemput tapi tidak hadir. Kenapa majlis penting sebegitu tidak ada wakil daripada pimpinan Pas yang datang tunjuk muka. Adakah Pas buat protes senyap pada DAP?
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License