PAS vs DAP - Perjalanan Masih Jauh

Monday 23 August 2010

Apa yang amat saya kagumi pada Tuan Guru Nik Aziz ialah sikap tetap pendirian atau konsistensi dengan apa yang diperjuangkannya selama ini. Itulah yang membezakan antara pemimpin yang hebat dengan pemimpin yang biasa.

Atas sikap tersebut juga maka tidak hairan apabila dia menyatakan baru-baru ini bahawa perlaksanaan hukum hudud dapat menyelesaikan masalah jenayah dan sosial yang semakin ketara pada zaman ini. Tok Guru mengambil sikap perdulikan apa orang nak kata, dia yakin dengan kepercayaannya, dan dia hanya mengharapkan balasan daripada Allah sahaja atas segala usaha perjuangannya.

Ada juga satu lagi pemimpin yang tak kurang hebatnya, juga seorang yang amat konsisten dengan perjuangannya termasuklah dalam isu menegakkan bahawa, tidak ada ruang dalam menukarkan undang-undang sivil kepada undang-undang hudud. Sebelum ini dia juga yang menyebut "langkah mayat saya dahulu" sebelum menjadikan Malaysia negara Islam. 

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud,".
Karpal Singh.



Sebagai seorang peguam yang terkenal, Karpal membuat kenyataan atas dasar Perlembagaan Persekutuan yang ditafsirkan olehnya sebagai menolak segala bentuk undang-undang atau usaha melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Mengikut pendapat Karpal, Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Sekular.

Tidak pernah lagi saya mendengar kenyataan dari Karpal bahawa ia menolak hukum hudud atau negara Islam  ataupun agama Islam itu sendiri kerana ada kecacatan pada samada Hukum hudud atau agama Islam. Mungkin benar kata Tuan Guru Nik Aziz bahawa Karpal bercakap sebagai orang yang jahil terhadap agama Islam.

Tapi saya percaya Karpal juga tidak bodoh untuk mengeluarkan kenyataan yang menjatuhkan agama Islam serta memandang rendah atau hina kepada pegangan orang Islam. Dia sendiri tahu apa akibatnya jika terlanjur menghina agama Islam.

Oleh itu usaha Tuan Guru Nik Aziz untuk menawarkan penerangan lanjut akan keindahan Islam atau kenapa Hudud itu baik dalam Islam kepada Karpal atau mereka yang seumpama dengannya adalah satu usaha yang tidak akan mengubah pendirian oran-orang seperti Karpal Singh.

Sekarang ini pula kenyataan Karpal telah disambut dan dikuatkan lagi oleh rakan seperjuangnya Lim Kit Siang bahawa Pakatan Rakyat tidak akan mengamalkan undang-undang Islam jika mereka memegang kuasa pemerintahan.

Lim Kit Siang juga percaya bahawa, menurut Perlembagaan Persekutuan, Malaysia adalah sebuah negara sekular, hujahnya dikuatkan lagi dengan pendapat 3 perdana menteri Malaysia yang pertama yang menyatakan benda yang sama. (3 PM yang selepas itu lebih condong menyatakan Malaysia sebuah negara Islam).

Sebagai sebuah negara sekular menurutnya lagi, tiada ruang untuk mencampurkan hal ehwal agama dengan sistem pemerintahan dan juga undang-undang. Klik di sini untuk kenyataan rasmi Lim Kit Siang dalam blognya.

Walaupun isu ini bukanlah satu isu yang baru, tapi PAS atau lebih tepat lagi Tuan Guru Nik Aziz dilihat seakan-akan masih tidak memahami bahawa mereka berbahas terhadap masalah yang amat berbeza. Yang peliknya tiada satu suarapun yang menyambut polemik antara Karpal atau DAP dengan Tuan Guru Nik Aziz sebagaimana selalu.

Dulu apa sahaja kata-kata Tok Guru yang menimbulkan kontroversi akan sentiasa diiringi dengan berbagai sokongan samada berupa tulisan atau ucapan daripada para pemimpin bawahan dan juga para pemikir PAS bagi menguatkan atau menegakkan segala ucapan Tok Guru.

Sedangkan dalam hal ini masalahnya adalah amat mudah sekali jika PAS dapat menolak pentafsiran DAP, iaitu mengadakan satu forum atau debat tertutup dengan segala pakar perlembagaan yang ada di Malaysia dan juga luar bagi membahaskan kenyataan DAP bahawa Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa negara kita adalah negara sekular dan tiada ruang menggantikan undang-undang sivil kepada undang-undang hudud adalah salah.

Cuma risikonya ialah jika DAP ternyata salah dalam membuat penafsiran mereka, ada kemungkinan mereka akan keluar dari gabungan PR kerana tidak berpuas hati hasrat PAS yang mahu menegakkan Islam di Malaysia. Jika ini berlaku maka ternyata DAP merupakan musuh Islam dan tidak menghormati perlembagaan, dan sebagai orang islam kita perlu menewaskan mereka.

Sebagai pilihan lain, masalah ini juga akan dapat diselesaikan jika PAS mengambil pandangan fahaman liberal dalam mentafsirkan undang-undang Islam. Para pemikir liberal berpendapat bahawa Islam menyatakan dengan jelas sekali dalam Al_Quran segala perkara-perkara yang mungkar atau salah di sisi agama.

Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar, dan adalah satu perkara yang amat nyata bahawa Al-Quran menetapkan bahawa kesalahan jenayah perlu dihukum, cuma bentuk hukuman tersebut boleh disesuaikan mengikut kesesuaian masa dan zaman.

Secara ringkasnya puak liberal menganggap bahawa hukuman bagi menegakkan undang-undang Islam perlu ditafsirkan semula bersesuaian dengan kehendak zaman tanpa menyimpang dari matlamat asal bagi mendidik masyarakat.

Jika PAS berfikir sedemikian maka dengan mudah bentuk hukuman sivil dengan sedikit pembetulan adalah selari dengan kehendak Al_Quran sebagaimana yang difahami oleh pemikir liberal, maka selesailah isu pertelingkahan antara PAS dan DAP.

Namuin sanggupkan PAS mengkaji dan mengadaptasi pemahaman mereka mengikut fahaman puak liberal dalam isu undang-undang hudud ini?.

Sebenarnya perkongsian satu pentas antara PAS dan DAP masih lagi janggal dan nampak canggung, cuma serak sumbang antara mereka masih lagi tidak ketara kerana kehadiran PKR yang duduk di tengah.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License