Bagaimana Cara Pencuri Meresap Ketika Dikepung

Tuesday, 18 October 2011

Ini adalah lanjutan dari cerita "Bagaimana Cara Meresap Ketika Dikepung"

Kawaq yang seorang itu telah ditangkap, dibelasah dan seterusnya diikat di bawah rumah Cik Muji. Saya dengan beberapa orang lagi berpatah balik ke tempat di mana 2 lagi kawaq tadi tiba-tiba menghilang untuk mencari ke mana mereka pergi di samping melihat peralatan yang telah dicampak oleh kawaq-kawaq tersebut.

Antara peralatan yang ditemui adalah 'besi bari', pemotong besi dan juga pemutar skru yang teramat besar dan panjang. Ini semua kami bawa kembali kepada tempat pencuri diikat bagi membuktikan memang dia masuk kampung hendak merompak. Kawaq tadi setelah diikat berulang-ulang merayu dilepaskan. Katanya dia mahu pergi 'pakpoi' atau maknanya menurun minta nombor ekor. Dengan segala peralatan tersebut ternyata dia berbohong.


Ada lagi barang lain yang saya dan rakan-rakan jumpa. Sekotak rokok Benson 20 yang bari dihisap sebatang dan sebuah dompet kulit kecil yang berisi 7 ketul batu kecil serta duit siling 25 sen. Ini tentu bahan atau ramuan untuk pukau. Rokok tu kekawan belasah dan tidak dilaporkan. Biasalah orang muda, pantang tengok rokok free.

Biasanya rumah yang di pecah masuk akan dicampakkan dengan batu kecil di atas bumbung dan dibiarkan jatuh bergolek. Kalau tak ada yang sedar maknanya tuan rumah tidur mati. Orang kata mereka jampi untuk pukau, tapi saya kata tak payah pukau kalau 7 ketul batu dicampak ke atas bumbung kita masih tak sedar dari tidur, kalau gajah masukpun orang kenis tu tak akan sedar.

Lebih ramai lagi mula sertai kami menyuluh dan selongkar sekitar semak hutan kecil yang dipenuhi pokok separa pinggang dan juga beberapa pokok besar buah binjau, pokok rambutan dan juga pokok kelapa. Semuanya meredah dengan lampu suluh dan senjata kayu. Ada lebih dari 20 orang di situ saja. Ada juga yang mencarinya di kawasan lain.

Tiba-tiba seorang menjerit, "tudia kawaq !" lalu disambut dengan riuh oleh semua, "kawaq, kawaq, kawaq !". Seorang lagi kawaq dikesan berada tak jauh dari tempat saya jumpa rokok dan beg duit kecil tadi. Orang yang terlihatnya terperasan kilauan jam tangan yang terpantul setelah disuluh.

Dia sedang duduk bertinggung atas tanah dengan tidak memakai baju dan terlindung oleh pokok-pokok separa pinggang di situ. Saya baru terfikir bagaimana dia tiba-tiba menghilang tadi ketika saya mengejarnya. Dia memang bijak setaraf james bond rupanya.

Ketika riuh orang mengejar mereka dengan lampu suluh menghala pada si panjang yang tertangkap tadi, dia mengambil pendekatan bijak dengan terus duduk bertinggung diam ketika melalui belukar itu. Sudah tentu tak ada yang perasa kerana asyik fokus pada si panjang dan semua terus kejar si panjang tanpa lansung memperdulikan dua orang lagi yang telah hilang.

Setelah tahu dia dikesan orang ramai, sepantas kilat dia bangun lari menuju ke kawasan pokok-pokok serta belukar di depan lalu diikuti oleh semua orang. Ramai lagi yang terjun ke situ setelah mendengar riuh rendah berlaku. Semua terlihat kelibat kawaq itu lari dan tiba-tiba di kawasan pokok-pokok itu dia menghilang kembali.

Suasana reda semula sebab semua pening macam mana boleh lepas lagi sekali dalam begitu ramai yang menerpa mengejarnya. Lampu suluh bersimpang siur merayau mencari lembaga tadi. Cari dan cari..."tudia kawaq!" sekali lagi jeritan terdengar.

Kali ini juga hasil dari kilauan jam tangan kawaq tersebut yang sedang melekat memeluk kuat sebatang pokok binjau di sebelah parit. Sekali lagi saya kagum otak geliganya. Tengah semua bercelaru mengejarnya dia meluru ke depan, zig zag dan terus memeluk salah sebatang pokok di tengah gelap itu dan mendiamkan diri. Cuma tak cerdik sikit dia ni adalah kerana pakai jam tangan tali besi yang berkilau apabila di suluh.

Dia melepaskan pelukannya dan berdesup lari lagi, zig zag dan tup-tup hilang semula. Orang pening lagi kejar dan hilang dan kejar dan hilang begitulah seterusnya sampai akhirnya memang tak jumpa terus sampai ke subuh. Selepas pukul tujuh pagi semua balik untuk meneruskan kehidupan. Putus asa tak dapat kejar yang lain dan masing-masing berpuas hati dengan sekadar satu tangkapan.

Pagi itu saya pergi ke ke kedai di Pekan Penanti dan melalui rumah lama di tepi jalan menuju ke pakan dari lorong belakang. Rumah itu masih ada beranda dan saya tergerak nak pergi tengok atas beranda tu. Ada kesan lumpur dan basah di bawah anak tangga di atas beranda tersebut. Sah, saya yakin itu tempat terakhirnya menyorok sebelum cabut balik setelah mengetahui tiada lagi yang mengejarnya.

Bagaimana pula dengan kawaq yang ketiga. Dia memang lesap terus tak dapat di kesan. Saya yakin dia menggunakan teknik yang sama tapi dia tak pakai jam tangan berkilat. Atau mungkinkah dia bertukar rupa menjadi rupa sebijik seperti salah seorang penduduk kampung Penanti yang turut sama mencari kawaq...hanya Tuhan saja mengetahuinya.

Sebagai rumusan, tentu semua dah dapat ilmu macam mana nak meresap ketika dikejar dan dikepung oleh orang kampung sekarang. Tak payah jampi serapah tetapi pastikan ianya di waktu malam dan carilah kawasan yang bersemak samun dan ada pokok-pokok besar.

Jangan lupa buka baju atau pakai baju hitam dan lari secara zig zag dan segera tunduk diam secara tiba-tiba bila melaui kawasan belukar separa pinggang atau segera peluk pokok dengan kejap dan diam jika ada pokok besar.

-TAMAT-
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License