Suatu masa dahulu kebanyakan dari penggiat politik terutamanya dari parti UMNO terdiri daripada kalangan guru. Mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap betapa pentingnya melibatkan diri dengan politik.
Dulu seorang guru amat dihormati dan kata-kata serta nasihat mereka menjadi ikutan masyarakat, maka tidak hairanlah peranan para guru amat penting bagi memastikan UMNO diterima baik dan disokong oleh masyarakat.
Apabila UMNO menjadi kuat dan semakin kuat, negara menjadi maju dan kemewahan melimpah ruah hasil dari polisi kerajaan mengimarahkan ekonomi orang melayu, maka secara tiba-tiba peranan para guru menjadi terpinggir.
Para penggiat politik dari parti UMNO telah diganti oleh para kontraktor dan juga para usahawan yang menjadi mewah dan kaya secara tiba-tiba. Kalau kita lihat persidangan UMNO sepanjang tahun, para perwakilannya dipenuhi secara majoriti dari kalangan para kontraktor dan usahawan. Mereka datang dengan berbagai SUV, Sport Car, Alphard dan lain-lain kenderaan mewah lagi.
Keadaan ini menjadikan para guru suatu masa dahulu menyokong kerajaan banyak yang beralih arah secara diam-diam meyokong parti pembangkang terutamanya Pas. Peranan mereka dalam Umno sudah dipandang sepi. kalau ramai yang menyokong Umno pun adalah kerana dikongkong oleh pihak atasan sekolah yang sentiasa memantau kegiatan para guru mereka agar jangan terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
Jika guru menyokong parti kerajaan, peluang kenaikan pangkat akan menjadi mudah, jika guru menyokong atau dilihat berkawan dengan orang pembangkang sekalipun maka satu surat pindah sekolah akan diberikan dengan kadar segera bagi menghukum dan mengajar para guru yang bersimpati kepada pembangkang.
Saya harap, pertukaran atau pindaan akta untuk membolehkan guru berpolitik tidak berat sebelah hanya untuk parti kerajaan sahaja. Biarkan mereka memilih parti pilihan mereka sendiri, asalkan mereka tidak menyokong parti komunis atau parti liberal atau demokrat Amerika sudahlah. Jika parti yang sah di Malaysia, izinkanlah, bukankah kita semua rakyat Malaysia, samada Parti pemerintah atau parti pembangkang?.
No comments:
Post a Comment