Ini Tanda-Tanda Awal Ada Perebutan Calon Sedang Berlaku

Wednesday, 7 April 2010

Dari jauh nun di Paris, TPM mengingatkan agar semua parti komponen BN mengutamakan BN, bukan calon untuk PRK Hulu Selangor 25 April ini.

Ada bau-bau keretakan dan perebutan calon sedang berlaku nampaknya, kalau tak ada, tentu TPM tak perlu nak ingatkan dari jauh-jauh nun di sana, bukan semua parti komponen BN mentah dalam politik sampai nak kena ingatkan benda asas macam tu?

Baca laporan Utusan di bawah;



Utamakan BN, ahli-ahli perlu sokong calon dipilih - Muhyiddin


Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan Ketua Pengarah Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Irina Bokova (kiri) ketika menghadiri mesyuarat ke-184 UNESCO di Paris, semalam. Hadir sama Wakil Tetap Malaysia ke UNESCO, Datuk Kenneth J. Luis (tengah). - bernama


PARIS 6 April - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pemimpin dan ahli-ahli parti komponen parti supaya memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang akan dinamakan untuk bertanding mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Menurut beliau, setelah melepasi kriteria yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan BN, calon yang diumumkan kelak perlu diterima baik semua pimpinan dan ahli parti komponen dengan semangat mengutamakan kepentingan BN berbanding parti masing-masing atau perkara lain.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, walaupun soal calon adalah perkara penting tetapi yang jauh lebih penting ialah kelangsungan BN, oleh itu jentera di semua peringkat perlu bekerja keras membantu kemenangan parti dalam pilihan raya kecil itu.
"Calon itu penting, tetapi lebih penting adalah parti (BN). Semua pemimpin dan ahli parti-parti komponen perlu memahami bahawa apa yang kita pertaruhkan adalah masa depan negara, sebab itu kita mahu BN diutamakan.
"Jadi saya harap apabila pucuk pimpinan buat keputusan mengetengahkan nama calon yang akan bertanding, seperti mana prinsip biasa kita harus menerimanya dengan baik. Ahli-ahli parti harus membantu dan bekerja keras. Perlu ada perpaduan dan kesetiaan kepada parti, keputusan pimpinan harus diterima dan dipatuhi setiap ahli," katanya.
Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum menghadiri hari pertama Sesi Ke-184 Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, beliau sudah menerima beberapa nama untuk dipertimbangkan dan diputuskan sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu sebelum ia diumumkan pada 15 April ini.
"Kita akan ambil kira pandangan pengundi dan faktor-faktor lain. Ini termasuk pengalaman, penerimaan masyarakat dan faktor bersih daripada sebarang skandal. Apa-apa pun kita akan umumkan pada 15 April ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dan format berkempen sebagai satu pasukan.
Ia bermakna mereka tidak lagi terasing serta melayan kaum atau kelompok masing-masing dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini.
Muhyiddin memberitahu, menerusi pendekatan yang selaras dengan gagasan 1Malaysia itu, setiap majlis kempen, ceramah dan pertemuan dengan para pengundi sepanjang pilihan raya kecil itu akan melibatkan semua parti komponen.
Share on :

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2015. ABU.
Design by Herdiansyah Hamzah. Published by Themes Paper. Powered by Blogger.
Creative Commons License