Pages

Saturday, 26 June 2010

Tiada Lesen Judi Sukan - Tahniah Kerajaan Malaysia !

Perdana Menteri mengumumkan yang kerajaan tidak akan meneruskan pemberian lesen judi kepada Ascott Sports Sdn Bhd setelah bermesyuarat bersama-sama dengan ahli majlis tertinggi UMNO semalam. Baca laporan dari bernama dengan klik di sini.

Nampak jelas majoriti ahli majlis tertinggi akur dengan keburukan berjudi terhadap rakyat Malaysia semua bangsa tak kira Melayu, Cina atau India dan lain-lainnya.

Apa guna kerajaan menambah hasil pendapatan negara sedangkan masyarakat porak peranda. Kata sesetengah orang yang bersetuju dengan pemberian lesen judi, hasil kutipan cukai judi dapat disalurkan kepada pembangunan negara. Apa sahaja yang dibangunkan untuk kemudahan rakyat yang rosak akan dirosakkan juga akhirnya, apalah yang diharapkan pada rakyat yang celaru kehidupan dengan berjudi?.


Ada banyak lagi cara lain untuk membendung kegiatan judi haram dan apa yang kerajaan buat dengan tidak mengeluarkan lesen judi sukan ini merupakan satu langkah permulaan ke arah membendung judi sukan.

Rakyat akan nampak bahawa kerajaan mengakui keburukan berjudi sukan, masyarakat akan mendapat satu persepsi umum bahawa berjudi adalah satu kegiatan yang jahat.

Apabila sesuatu kegiatan yang jahat berlaku, akan ada rakyat yang perihatin yang akan melakukan sesuatu bagi menghalang kegiatan jahat tersebut, sekurang-kurangnya dengan membuat laporan.

Ini memberikan kemudahan pihak berkuasa mengambil tindakan kerana banyak pemberi maklumat bergerak di dalam masyarakat.

Nampaknya dalam kes pemberian judi sukan ini ternyata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berfikiran celaru dan tak boleh dipakai, harap peminat setia yang sering memujanya dalam komen-komen blog Dr Mahathir membuka mata, memuji biar berpada!.

Mungkin selepas ini rakan baiknya tak akan menganjurkan sambutan majlis hari jadi seperti ini lagi. 

Friday, 25 June 2010

Memelihara Hak Kaum Cina - Benarkan Berjudi?

Salah satu perkara yang Dr Mahathir amat perihatin dalam menjaga hak tiap-tiap bangsa di Malaysia adalah dengan memberikan lesen berjudi agar hak berjudi tidak dihalang daripada bangsa selain dari Melayu.

Kata Dr. Mahathir berjudi itu tidak haram bagi bangsa lain seperti Cina atau India. Ianya haram hanya untuk pengganut agama Islam yang sinonim dengan bangsa Melayu. Maka Dr Mahathir bersungguh-sungguh mencadangkan kerajaan meluluskan lesen berjudi demi memberikan hak berjudi kepada bangsa yang dibolehkan berjudi.

Saya tak percaya yang Dr Mahathir tak tahu bahawa semua bangsa di dunia ini tidak mengiktiraf kegiatan berjudi. Semua manusia tak kira apa bangsa yang berfikiran waras dan matang mengaku bahawa berjudi itu adalah kegiatan buruk dan bodoh.


Kalau kita masih ingat semasa di sekolah dulu pelajaran kebarangkalian menerangkan kepada kita bahawa aktiviti berjudi hanya menguntungkan tauke judi sahaja dan tidak menguntungkan masyarakat keseluruhannya. Dalam erti kata lain, jika lesen judi di keluarkan yang untungnya adalah tauke syarikat yang mendapat lesen tersebut, iaitu kawan baik Dr Mahathir.

Nampaknya Dr Mahathir hanya menjaga kepentingan kawannya agar sentiasa dapat membelanjakan wang untuk meraikan majlis harijadinya sepanjang tahun secara besar-besaran. Tak kisahlah jika rakyat kita terjebak dalam aktiviti judi yang merugikan asalkan kawannya semakin kaya.

Saya syak mungkin Dr Mahathir sengaja mahu memastikan bangsa cina rosak dan lemah dengan aktiviti judi, maka dia bertegas agar judi di biarkan berleluasa. 

Thursday, 24 June 2010

UMNO Mahu Ganti PAS

Salah satu perangai manusia yang pelik adalah sentiasa mengidamkan apa yang dia tak ada, seperti kata sesetengah orang seni, "indah sebelum dimiliki". Cuba kita lihat pada proses memiliki kereta. Sebelum kita memiliki kereta yang kita idamkan, pemikiran kita hanya akan tertumpu pada yang indah-indah saja yang ada pada kereta itu.

Sebaik saja kita mendapatkannya tak payah tunggu lama untuk kita mula melihat segala kelemahan yang ada pada kereta yang telah kita miliki itu, hilang terus segala kelebihan yang ada padanya. Kita mula memasang mata melihat kereta lain pula, yang belum kita miliki.

Hal yang serupa juga berlaku pada hubungai suami isteri. Sebelum berkahwin iaitu semasa proses bercinta, segalanya indah bagi kita, keburukan pasangan seolah-olah tertutup rapat tiada ruang untuk muncul dalam pemikiran kita.


Selepas kahwin, pintu kelebihan pasangan mula tertutup sedikit demi sedikit, manakala pintu keburukan pasangan mula terbuka sedikit demi sedikit sehingga akhirnya segala yang buruk saja terpampang di fikiran. Di saat itu, kepunyaan orang lain mula menjadi lebih indah dan begitulah silih berganti dalam apa sahaja perkara.

Dalam Politik pula, UMNO nampaknya mencemburui PAS dari segi sokongan golongan orang yang cintakan agama. Kita lihat dari dahulu UMNO sedikit demi sedikit cuba menyerupai PAS dalam menghampiri perjuangan Islam dan yang terbaru ini mereka ternyata mahu menggantikan PAS sebagai sebuah parti islam dengan membawa masuk puluhan "ulama" berkelulusan PhD. Baca laporan ini.

Banyak juga kenyataan bahawa akan masuk lagi ratusan para ulama berkelulusan PhD ke dalam UMNO, mereka bersungguh-sunggur mahu menggantikan PAS agaknya...! PAS pula bagaimana, kita sendiri boleh melihat perkembangan PAS dari dulu hingga sekarang.

PAS Ganti UMNO Sebagai Parti Teras Orang Melayu.

Kesediaan PAS untuk meletakkan calon bukan muslim pada pilihan raya yang akan datang memberikan satu harapan baru kepada rakyat Malaysia yang dahagakan kepimpinan yang berlandaskan keadilan dan kejujuran. 

Tindakan PAS juga mendapat liputan dari media luar negara yang nampaknya amat tertarik dengan perkembangan atau perubahan yang berlaku terhadap parti PAS yang dulunya mereka labelkan sebagai parti ketinggalan zaman dan extremis. Baca laporan dari The Wall Street journal dengan klik di sini.

Mampukah PAS menangkis segala cabaran yang bakal dihadapi akibat dari perubahan drastik yang sedang mereka lakukan kini. Tentangan akan datang dari dalam parti sendiri oleh golongan yang tidak dapat menerima bahawa mereka terpaksa memberikan undi kepada orang bukan muslim sedangkan selama ini mereka di ajar bahawa hanya muslim yang layak menjadi pemimpin.


Akan datang juga cabaran dari rakan mereka seperti DAP dan PKR yang pasti rasa tergugat dengan perkembangan PAS seolah-olah PAS cuba menjadi ketua dalam kerjasama mereka dan seterusnya pimpinan PAS akan menjadi ketua kepada Pakatan Rakyat mengganti Anuar Ibrahim yang sentiasa dilanda berbagai masalah.

Cabaran yang palin hebat sekali sudah tentu datang dari UMNO yang merupakan musuh tradisi kepada PAS. Apa lagi jika UMNO merasa tergugat dengan kesungguhan PAS mahu menggantikan peranan UMNO sebagai parti teras bangsa Melayu dan dalam masa yang sama mampu menjamin kesejahteraan bangsa-bangsa lain berlandaskan keadilan islam.

Ada yang berkata 'operasi lalang'  akan berlaku sekali lagi untuk memberkas dan menyapu bersih pemimpin pembangkang bagi menyediakan laluan mudah pemerintah sekarang memenangi pilihan raya ke 13. Entah benar atau tidak hanya Tuhan saja yang mengetahuinya.

Sebagai orang biasa saya tak terfikir untuk membuat segala taktik kotor bagi memenangi sesuatu pertandingan, tapi apabila melihat sikap manusia sepanjang zaman yang sanggup melakukan apa saja hatta membunuh semata-mata untuk mendapatkan harta benda, saya terfikir sudah tentu manusia juga akan sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan takhta kekuasaan. Status takhta kekuasaan adalah lebih baik daripada kekayaan, kerana dengan kuasa harta akan datang bergolek. Wallahu'alam