Pages

Saturday, 2 January 2010

Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Tidak Berkaliber ?


Jawatan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) jatuh kepada bekas pengarah pusat islam USM Ustaz Ellias Zakaria, tidak kepada pesuruhjaya Pas Pulau Pinang iaitu Ustaz Salleh Man sebagaimana yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir lalu.

Untuk menyedapkan hati Ustaz Salleh Man, satu jawatan baru diadakan iaitu Timbalan Yang Dipertua MAIPP dan Ustaz Salleh Man dilantik mengisikan jawatan tersebut.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat hari ini mengaku tersilap menjanjikan jawatan tersebut kepada Ustaz Salleh Man dulu dan memberikan alasannya bahawa urusan cadangan perlantikan telah berjalan terlebih dahulu sebelum pilihan raya kecil Permatang Pasir kepada Yang di-Pertuan Agong.

Siapa yang terlantik sebenarnya tidak menjadi masalah, yang pentingnya orang tersebut perlulah seorang yang berkaliber dari segi pengurusan, berilmu, dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, maklumlah ia merupakan jawatan tinggi dalam pengurusan hal ehwal agama Islam di seluruh negeri Pulau Pinang.

Namun natijah dari perlantikan tersebut dapat memberi petunjuk bahawa, Pas tidak mempunyai ketua yang hebat di Pulau Pinang, padanlah hanya satu kerusi saja yang mampu dipegang oleh Pas di Negeri Pulau Pinang tersebut, itupun kerusi peninggalan arwah YB Hamdan, yang kemudiannya dipegang oleh Ustaz Salleh Man.

Semasa Ustaz Salleh Man diistiharkan sebagai calon DUN Permatang Pasir lalu. ramai dari kalangan kawan-kawan yang bertanya siapa Ustaz Salleh Man ni?, malah ada dari kalangan mereka yang aktif dalam Pas pun tak kenal dia.

Apabila mereka melihat sendiri bagaimana Ustaz Salleh Man menjawab soalan yang diajukan oleh para wartawan di TV semasa kempen pilihan raya kecil dulu, ramai yang terus bertanya samada boleh kah Ustaz Salleh Man menjadi YB di DUN Permatang Pasir. Mereka melihat jawapan atau perbicaraan Ustaz Salleh Man tidak ada ciri-ciri kepimpinan dan kurang berkeyakinan.

Dengan perlantikan Ustaz Ellias Zakaria menjadi Yang Dipertua MAIPP, menjelaskan lagi tahap kepimpinan Ustaz Salleh Man, rakan-rakan Pas dari PR sendiri tak yakin dengan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang ni.

Namun dengan perlantikan Ustaz Salleh Man sebagai Timbalan Yang Dipertua MAIPP ini dapatlah dia belajar serba sedikit dari Ustaz Ellias Zakaria dan seterusnya memantapkan lagi kepimpinannya sebagai Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang.

Bagus sungguh kepimpinan dalam Parti Pas ni, walaupun sudah lama benar Ustaz Salleh Man memegang jawatan Pesuruhjaya Negeri Pulau Pinang tanpa ada apa-apa hasil yang mantap dalam usaha menjadi juara membantu rakyat melayu negeri yang tersorot, kepimpinan Pas pusat masih lagi bersabar dan memberikan peluang untuk dia belajar dan terus belajar.

Syabas PAS dengan tahap kesabaran anda yang amat luar biasa!!!

Tuesday, 29 December 2009

Nazri Tidak Setuju Sekolah Satu Aliran


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz menolak cadangan untuk mengadakan sekolah satu aliran, demikian laporan dari thesundaily.com.

Beliau memberikan komennya ketika berada di Chengdu, negeri China yang menyatakan kekesalannya kerana tidak dapat bertutur Mandarin ketika berada di sana.

Nazri berpendapat dengan mengadakan sekolah satu aliran, kita memaksa bangsa lain menjadi Melayu dan menekankan bahawa konsep 1Malaysia bermaksud menyatukan semua bangsa yang berbeza dalam satu negara yang bermuafakat, malah 1Malaysia membenarkan semua bangsa mengekalkan bahasa ibunda mereka.

Dia menekankan bahawa sekolah beraliran Cina atau Tamil perlu dikekalkan dan sekolah-sekolah tersebut terbuka kepada semua bangsa samada Melayu Cina, India atau lain-lain dan bukan untuk bangsa tertentu sahaja. Bangsa Melayu sepatutnya menghantar anak-anak mereka ke sekolah cina atau tamil bagi membolehkan mereka mempelajari bahasa lain.


Cadangan mengadakan sekolah satu aliran merupakan pandangan pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim yang mendapat bangkangan dari pelbagai pihak. Nazri menyindir Khoo Kay Kim sebagai terlalu Patriotik atas desakannya kepada kerajaan bagi mengadakan sekolah satu aliran.

Saya berpendapat Nazri tidak memahami apa yang dimaksudkan sebagai sekolah satu aliran sebagaimana yang disyorkan oleh Prof Khoo Kay Kim, malah alasan yang diutarakan oleh Nazri terlalu dangkal dan bukan bertaraf Menteri.

Saya terkejut dengan pandangan Nazri yang agak cetek terhadap sekolah satu aliran ini kerana Nazri selama ini merupakan salah seorang menteri yang saya hormati dek kehebatan dan kepetahannya berhujah dan berpandangan rasional dan sering berhujah berlandaskan fakta.

Saya syorkan agar Nazri meluangkan masanya bertemu dengan Prof Khoo Kay Kim dan berbincang bagi mendapatkan fakta-fakta serta hujah-hujah hasil kajian yang telah dilakukan oleh pakar sejarah negara kita itu.


Adakah sekolah satu aliran bermakna kita cuba memelayukan bangsa-bangsa lain? sudah tentu tidak sama sekali, orang cina masih boleh berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka sesama mereka walaupun berada di sekolah yang sama dengan orang melayu, begitu juga dengan orang India atau lain-lain bangsa.

Cuma bezanya mereka terpaksa berkomunikasi dalam bahasa malaysia  apabila bersama-sama dengan orang berlainan bangsa. Dengan pendedahan berbagai bangsa dalam satu sekolah kita dapat lebih memahami budaya dan bahasa masing-masing yang merupakan satu faktor penting dalam pembinaan masyarakat yang bersatu.

Kita boleh mengadakan kelas khas bahasa Cina atau bahasa Tamil yang mana dapat di ikuti juga oleh bangsa Melayu. Jika saya di beri peluang untuk mengikuti kelas tambahan di sekolah saya sejak dari sekolah rendah mengikuti bahsa Cina dan Tamil, sudah tentu saya akan mengikutinya dan sudah tentu saya boleh sekurang-kurangnya mengenali 3 bahasa penting masyarakat Malaysia.

Jika saya menghantar anak saya ke sekolah Cina, anak saya hanya mampu berbahasa Cina, bagaimana dengan bahasa Tamil ?, jika dalam satu sekolah kita ada semua bahasa tersebut, bangsa Malaysia akan menjadi bangsa yang majoritinya memahami 4 bahasa iaitu Cina Tamil Inggeris dan Melayu.

Sekolah satu aliran yang mengumpulkan semua bangsa di bawah satu bumbung, yang memberi pendedahan kepada semua bahasa utama negara kita jika diadakan sejak dibangku sekolah rendah mampu mengubah negara kita, lagipun kanak-kanak adalah seumpama mesin belajar yang mampu menyerap apa yang diajarkan dengan mudah.

Mungkin Nazri terlalu memikirkan akibat jika di satu alirankan sekolah kita menyebabkan bangsa kita bersatu dan lebih terbuka yang menyusahkan parti-parti politik yang ultra bangsa memainkan isu perkauman bagi meraih sokongan.

Dari segi dakwah pula, bangsa lain akan lebih terdedah dengan amalan pelajar-pelajar beragama Islam, mereka akan lebih kritis dengan sikap serta amalan pelajar beragama Islam kita jika terlihat perbezaan terhadap anjuran agama dengan amalan seharian, ini mendorong orang kita menjaga amalan agar seiring dengan agama.

Mungkin Nazri takut jika disatukan semua di bawah satu bumbung jurang pencapaian anak-anak Melayu akan terlihat terlalu ketara. Jika di dalam satu kelas yang mengandungi seramai 30 orang yang mana pelajar cinanya seramai 20 orang, barangkali kedudukan keputusan dari nombor satu hingga ke nombor 20 akan dimonopoli oleh orang cina.

Saya teringat ketika saya berada di sekolah menengah dulu yang mana terdapat seramai 12 orang pelajar cina di kelas saya, kedudukan dari nombor satu sampai nombor 15 memang dimonopoli oleh kawan-kawan saya dari bangsa cina, kedudukan dari belakang pula dikuasai oleh kawan-kawan saya dari bangsa melayu.

Sudah masanya kita merubah sistem persekolahan kita tanpa menghilangkan identiti bangsa masing-masing, kita perlu bersaing sesama sendiri dengan persaingan yang sihat, bukan menjatuhkan kawan yang lari laju daripada kita untuk menang.