Pages

Thursday, 3 December 2009

Masih Ada Yang Tak Sedar !


Selasa baru-baru ini saya ke Pulau Pinang atas urusan kerja bersama dengan 2 orang lagi rakan sekerja. Bertolak dari KL pada pukul 6.30 petang ketika hujan gerimis kami sampai kawasan R&R Tapah lebih kurang pukul lapan untuk makan dan solat.

Ketika kami berligar mencari tempat duduk tiba-tiba terserempak dengan rakan satu industri yang kebetulan dalam perjalanan yang sama atas urusan kerja di Pulau Pinang. Mereka berdua dalam perjalanan itu dan kami turut serta bersama semeja.

Ketika berbual rancak, seperti biasa berbagai isu yang dibincangkan termasuklah isu politik tanahair, sehinggalah pada satu tahap saya mengutarakan bahawa terdapat pimpinan Umno yang menyekat orang yang lebih pandai darinya dari menyertai Umno.

Sebaik sahaja saya selesai ayat itu, rakan saya tadi, tiba-tiba menjadi amat garang sekali sambil menyatakan bahawa dia merupakan orang kuat Parti (Umno), dan apa yang saya katakan itu tak betul sama sekali, dan ia hanya berupa fitnah yang tak pernah berlaku. Umno katanya tak pernah menghalang orang untuk sertai parti mereka.

Saya menjadi amat hairan dengan penafiannya dan berkata itu memang berlaku di kampung saya dan kawasan-kawasan yang seumpama dengannya. Malah ia turut berlaku de banyak tempat lain. Dia meninggikan suaranya dan menuduh saya memberikan fakta umum yang tak betul sama sekali.

Lalu saya dengan selamba berkata, kalau dia tak nak percaya cakap sayapun tak apa, tapi saya memberitahunya bahawa fakta ini juga dinyatakan oleh bekas Presiden Umno sendiri iaitu Tun Mahathir dalam blognya. Takkanlah orang berpengalaman seperti Tun Mahathir pun main cakap semberono.

Mendengan kata saya itu, dia terus berkata bahawa itu hanya di tempat Tun Mahathir, lagipun saya tak pernah suka Tun Mahathir yang merupakan pemimpin yang gagal membina bangsa. Katanya lagi, Tun Mahathir gagal menaikkan modal insan.

Untuk menegakkan lagi pandangannya dia menambah bahawa apa saja keburukan yang saya katakan pada Umno adalah keburukan orang dan bukanlah keburukan Parti, "Parti tak buruk" katanya, "orang yang buruk perangainya, tak kira parti apa saja dia masuk".

Saya masih tak bersetuju dengan pandangannya lalu berkata, bahawa apa yang saya katakan adalah persepsi orang ramai kepada para pemimpin Umno, kebetulan mereka orang Umno, siapa suruh Umno membenarkan orang sebegitu mawakili partinya, maka tak salahlah kalau saya berkata selagi orang korup yang memimpin Umno maka parti Umno adalah parti korup.

Dia nampaknya semakin naik angin dan masih berkata, generasi baru telah berubah, dan Umno sedang berubah dan Umno pasti akan berjaya kerana semua yang buruk telah berlalu. Dia begitu yakin sekali.

Saya meneka asal kawan saya itu adalah dari Melaka, setalah saya bertanya betullah rupa-rupanya dia orang Melaka, memang Melaka merupakan lubuk yang penuh dengan orang Umno dan mereka amat kuat sekali.

Saya menamatkan perbualan dengan berlembut dengan pendapatnya. Saya macam tak percaya ada lagi orang Umno yang bermimpi dan tak menerima kenyataan. Macam mana Umno nak berubah...betullah kata Mahathir, dan saya jangkakan orang besar Umno yang katanya nak masuk Pas itu adalah dirinya sendiri.

Tuesday, 1 December 2009

Program Sumbangan Kepada Warga Miskin Teluk Bahang


Minggu lepas saya ke Pulau Pinang atas urusan kerja dan juga pulang berhari raya aidil adha di kampung. Selesai urusan kerja pada hari rabu 25 Novenber 2009 saya berkesempatan mengikut kawan saya Zulkiflee Mat Lazim, seorang usahawan dalam industri perubatan, dan Ariffin, seorang hartawan hartanah, menyampaikan sumbangan kepada warga miskin di Teluk Bahang.

Program tersebut adalah anjuran bersama JKK dan Dewan Pemuda Pas Teluk Bahang, diadakan di sebuah surau pada pukul 3 petang. Kami sampai agak awal di surau itu kerana mahu mengerjakan solat zohor berjemaah dengan warga surau tersebut, namun atas kesesakan lalu lintas kami hanya dapat berjemaah sesama kami 3 orang sahaja.


Urusan mencari dana atau sumbangan untuk disampaikan pada warga miskin adalah atas daya usaha Zul yang memang sentiasa ligat berusaha menyediakan ruang kepada semua kawan-kawan yang berniaga agar dapat beramal dengan amalan mulia membantu sekadar yang terdaya terhadap mereka yang memerlukan.

Semetara menunggu, kami berbual bersama beberapa rakan JKK yang bertungkus lumus menjayakan program itu. Salah seorang ahli JKK menceritakan bagaimana gelagat para warga kampung yang selama ini lebih biasa dengan kehadiran UMNO atau BN yang memerintah Pulau Pinang sekian lama, sehinggalah PRU12 lalu PR ditakdirkan menang menguasai Pulau Pinang.


Ada seorang warga tua dan miskin yang telah diberikan wang berupa sumbangan bantuan kepadanya oleh JKK, setelah mendapat wang itu dia lalu menghulurkan sedikit sebahagian daripada wang yang dia dapat kepada wakil JKK yang telah manyampaikan padanya sambil berkata " Ini Duit Kopi".

Wakil JKK itu amat terkejut, pakcik itu seorang yang amat daif, tapi masih nak hulurkan duit kopi padanya lalu dia bertanya kenapa dia buat begitu. Pakcik itu jawab sebelum ini masa BN dulu memang macam tu, "Biasalah" katanya. Lalu wakil JKK menyuruh dia menyimpan duit itu dan berkata sekarang ini semua itu sudah tiada lagi.


Tepat pukul 3 petang upacara pembukaan dimulakan oleh pengerusi secara ringkas dengan menjemput ketua pemuda Pas memberikan sepatah dua ucapan. Orang kampung telah penuh di dalam surau yang jumlahnya dalam linkungan 30 orang setia menanti program berjalan.

Ustaz Fauzi, memberikan ucapannya yang lebih berupakan ceramah agama sambil memberikan beberapa bacaan ayat Al-Quran. Dalam lingkungan 15 minit ucapannya berlalu dan saya lihat hampir semua warga kampung hanya sibuk berbual sesama sendiri tanpa memperdulikan ucapan Ustaz Fauzi. Mungkin Ustaz Fauzi perlu belajar mengenali siapa pendengarnya terlebih dahulu sebelum berucap.


Begitulah biasanya saya melihat ustaz-ustaz bila berucap nadanya, rentaknya, isinya amat monotonous sekali tanpa memperdulikan siapa yang sedang mendengarnya, mereka pukul rata sahaja. Mereka gagal mengambil perhatian para pendengar.

Ucapan yang kedua adalah daripada saudara Zul sendiri yang memberikan ucapan ringkas, bersahaja dan segar. Ucapa Zul berjaya mengambil perhatian para pendengar apabila saya melihat mereka mula berhenti berbual dan memberikan perhatian pada cerita seorang warga tua yang kerjanya mengajar mengaji di sebuah kampung di Perlis.


Zul menceritakan yang orang tua itu sering di berikan derma dan sumbangan oleh orang ramai namun sepanjang jalan menuju pulang dia akan mendermakan pula pada orang lain yang lebiih susah sehingga lah dia biasanya pulang dengan tangan kosong. Baru-baru ini mereka tergalikan kuburnya, dan menemui mayatnya masih segar seperti masih hidup. Itulah kelebihan banyak menderma kata Zul sebagai motivasi mereka yang susah berusaha keluar dari lingkungan kesusahan mereka.

Ucapan terakhir adalah dari Dato' Haji Abdul Halim Hussain, Speaker DUN Pulau Pinang. Beliau juga berjaya memukau pendengar dengan cerita pengalamannya melawat ke negara luar melihat rakyat negara lain melaksanakan program kemasyarakatan bagi membantu warga miskin keluar dari kesusahan mereka dengan menjadi usahawan.

Dia menyeru semua pengerusi JKK memastikan kawasan mereka aktif dengan usaha kemasyarakatan dengan menganjurkan kursus serta latihan dari para usahawan atau profesional kepada komuniti agar mereka dapat mempelajari sesuatu kemahiran yang dapat digunakan untuk menambah pendapatan mereka. Beliau memberikan cabaran kepada para pengerusi JKK jika tiada aktiviti komuniti lebih baik letak jawatan sahaja. jawatan JKK bukan lah untuk menjadi Jin Kampung, katannya.

Majlis di akhiri dengan penyampaian sumbangan yang berupa barang keperluan dapur.

Monday, 30 November 2009

Apa Yang Pas Perlu Buat Sekarang...?


Dah berbulan bulan parti Pas di asak dengan begitu hebat sekali oleh media massa seluruh negara. Antara negeri yang teruk diasak dan dihimpit dengan isu-isu sensasi adalah Kelantan dan Selangor. Dua negeri yang menjadi matlamat utama Barisan Nasional untuk menguasainya semula pada PRU 13 nanti.

Masa kini Tuan Guru Nik Aziz menjadi sasaran utama serangan dari pelbagai pihak samada dari dalam parti Pas sendiri atau dari parti lawan. Panas dibuatnya kerusi Mursyidul Am Pas itu.

Yang amat menghairankan saya adalah betapa sunyi dan sepinya Presiden Pas dan Naib Presiden Pas dari melaksanakan "damage control" untuk meredakan asakan dari luar dan dalam Parti. Kenapa jadi begini?

Perlu diingatkan bahawa tugas yang paling penting sekali yang perlu dilakukan oleh Presiden  dan pihak atasan parti sekarang adalah menguatkan disiplin parti.

Mereka perlu mulakan sekarang juga road show melawat dan memberi penerangan strategi di seluruh negeri kepada semua pimpinan negeri. Kuatkan disiplin parti, kuatkan disiplin parti, kuatkan disiplin parti.

Perkara disiplin parti sepatutnya di buat sebaik sahaja tamat PRU12 dulu, itu adalah perkara utama yang perlu di tangani sebaik saja tamat saja PRU12.

Namun masa masih belum terlambat....saya menyeru Pimpinan Pas agar mulakan gerakan memperkuatkan Disiplin Parti sekarang juga.

Kuatkan Disiplin Parti.

Biro Tata Negara - Mengaku Saja La...!


Biro Tata Negara atau ringkasnya BTN adalah sebuat agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Di tubuhkan pada tahun 1974 sebagai Unit Penyelidikan Belia di bawah Kementerian Belia. Kemudiannya di tukarkan kepada BTN dan di pindahkan ke bawah Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1981.

Objektif BTN secara rasminya adalah:
- Menanam sifat patriotisme kepada rakyat.
- Menyuburkan sifat kecemerlangan warga Malaysia.
- Melatih pemimpin dan bakal pemimpin ke arah menjayakan pembangunan negara.

Tentu ramai yang berpengalaman mengikuti kursus atau kem bina negara anjuran BTN ini, terutamanya para pelajar universiti. Saya berpeluang mengikuti kursus BTN beberapa kali bermula ketika berada di sekolah menegah lagi.

Ketika di sekolah menengah dulu saya diberitahu yang saya antara mereka yang beruntung kerana dipilih mengikuti kursus tersebut. Kursus yang membangkitkan semangat patriotisme dan kesedaran memperbaiki diri menuju ke arah kecemerlangan. Ketika itu saya merasa amat berbangga sekali dan turut sama menyanyikan lagu "Anak kecil main api..." dengan kuat dan bersemangat.

Dengan mengikuti kursus tersebut, ia memantapkan lagi sikap kecurigaan saya terhadap bangsa selain dari Melayu (terutamanya Cina). Walaupun seseorang melayu itu tidak pernah mengikuti kursusu BTN, kalau dia membesar di kampung, dia tentu secara tidak di sedari di tanam dengan sikap berhati-hati terhadap bangsa Cina yang di tuduh cuba melenyapkan kekuasaan orang Melayu.

Itulah hakikat yang berlaku di serata kampung, walaupun kita biasa bergaul, berkawan bersama dengan bangsa lain, sikap curiga terhadap bangsa lain terutamanya Cina memang ada walaupun ada yang cuba menafikannya. Apabila kita masuk mengikuti kursus BTN, sikap itu akan menjadi satu perjuangan yang mengukuhkan lagi apa yang telah di serapkan oleh orang tua kampung dulu.


Sekarang ini saya sedar kenapa sikap perkauman ini di tanam kepada orang Melayu, untuk digunakan sebagai senjata ugutan bagi mengekalkan kuasa mereka yang sedang berkuasa. Selagi adanya perasaan curiga mencurigai antara berbagai bangsa di Malaysia ini, selagi itulah senjata ini berkesan untuk mengekalkan kekuasaan.

Robohnya sikap perkauman antara Melayu, Cina dan lain-lain di Malaysia bermakna kuasa politik Barisan Nasional akan tergugat, tiada lagi senjata ugutan separti menakutkan orang ramai dengan peristiwa 13 May dan lain-lain.

Melihatkan situasi percaturan kepimpinan negara kita sekarang ini, adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk kita menghilangkan semangat kebangsaan kita, kita tetap membezakan Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kita tetap ada perasaan curiga antara satu sama lain. Di tambah pula dengan sistem persekolahan kita, struktur ekonomi kita, dan usaha-usaha seperti BTN ini semua hanya menyuburkan lagi keadaan curiga-mencurigai sesama kita.

Nampaknya kuasa Barisan Nasional akan lama lagi memeluk erat tampok pemerintahan negara kita Malaysia.