Pages

Saturday, 14 November 2009

Dilema Orang Pas Aktif Politik Sepenuh Masa


Saya ada seorang kawan yang bertugas sepenuh masa sebagai setiausaha salah seorang YB Pas. Dia bekerja sepenuh masa untuk segala aktiviti parti di bawah YB tersebut dengan diberikan gaji sebanyak RM900 sebulan.

Apabila saya bertanyakannya samada cukup untuk dia menyara kehidupannya dan keluarga dengan gaji sebanyak itu, dia hanya menggelengkan kepalanya. Manalah cukup untuk menjalani kehidupan dengan wang sebanyak itu di Lembah Kelang ini.

Sewa rumah sahaja sudah mencecah RM500 sebulan baki RM400 yang ada tak mampu untuk dia menampung segala perbelanjaan lain. Jadi dia terpaksa berusaha mencari duit tambahan dengan mengintai peluang perniagaan agar dapat menyara keluarganya. Tambahan pula, apabila terlibat dengan kerja politik ini, kadang kala perlu buat PR dengan minum dengan orang, kadang kala terpaksa keluarkan duit sendiri untuk belanja.

Yang menjadi masalah ialah bila ramai yang menuduh dia kurang berada di pejabat untuk kerja-kerja parti, dan mengambil kesempatan dengan kenalan politiknya untuk mendapatkan kerja-kerja kerajaan. Ini sering menjadi keluhannya yang kadangkala dia seperti tidak mahu meneruskan khidmatnya pada politik.

Tambahan pula persepsi orang Pas apabila kita berbuat begitu, kita telah menyalah gunakan kuasa, entah bagaimana mereka fikir kawan saya itu perlu menyara hidupnya. Dari segi kerja parti dia tidak pernah mengabaikannya, cuma dia perlu berusaha menambahkan pendapatannya, adakah itu salah? soalnya pada saya.

Saya berpendapat tidak salah jika dia berusaha, menyara hidupnya dengan berniaga mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan. Lagipun kebetulan pula kerjanya membolehkan dia mengenali ramai kakitangan kerajaan dan juga peniaga-peniaga. Apa salahnya dia mengunakan kelebihannya, secara yang benar dan telus serta mengikut prosedur untuk mencari rezki.

Takkanlah seorang yang terlibat dengan industri ikan, menyara hidupnya dengan menjual sayur. Boleh, tapi tak bijak namanya. Kalau jaringan kita baik dengan peluang-peluang dari kerajaan, maka carilah rezki dengan peluang itu.

Kita faham bahawa dana untuk menyara kerja-kerja politik Pas adalah terhad, tapi janganlah kita anggap petugas-petugas parti tidak perlu menyara hidup dan keluarga.

Tuesday, 10 November 2009

Apa yang tak kena dengan PAS?


Tadi saya berbual dengan kawan mengenai isu semasa politik di Malaysia. Sudah tentu topik yang paling hangat waktu ini adalah isu kemelut dalaman PAS yang sampai mengheret parti tersebut mengadakan seminar politik untuk para pimpinan PAS. Dia bertanya pada saya bagaimana saya lihat peristiwa yang terjadi sekarang ini dalam PAS.

Saya melihat bahawa isu dalaman PAS bukanlah satu isu yang besar. Adalah lumrah dalam sesebuah organisasi mempunyai kepelbagaian pendapat dan terjadi berbagai perbalahan dari segi strategi. Jika tiada kepelbagaian pendapat parti akan senyap sunyi dan itu alamat parti akan gulung tikar.

Yang pentingnya ketua perlulah seorang yang tegas dan di hormati serta digeruni oleh semua orang bawahannya yang apabila dia membuat keputusan semua orang akan ikut samada suka atau tak suka.

Ketua pula harus pandai menyeimbangkan kekuatannya itu sehingga jangan sampai ia menyebabkan orang bawahan berhenti memberikan pendapat dan berbalah idea.

Kawan saya mengatakan bahawa sebenarnya tiada apa masalah yang berlaku di dalam parti PAS dan isu yang berlaku tidak harus digembar gemburkan.

Saya berkata tidak penting hakikat sebenar apa yang berlaku di dalam parti dan saya percaya Pas merupakan sebuah parti yang matang dan telah lama bertahan dalam arus politik tanah air. Tetapi perkara yang paling penting sekali adalah bagaimana orang ramai melihat Parti atau lebih tepat lagi bagaimana persepsi orang ramai terhadap Pas.


Kita harus ingat untuk menang, Pas memerlukan sokongan orang ramai yang bukan ahlinya, ahli Pas sendiri tiada masalah untuk memberi undinya kepada Pas.

Itulah yang perlu dilihat oleh para pemimpin Pas, bagaimana mahu memaparkan Pas di khalayak orang ramai yang dapat menimbulkan persepsi bahawa parti Pas adalah untuk semua, bukan hanya untuk ahli Pas sahaja.

Untuk itu, semua kepimpinan Pas perlu meneliti segala tindakannya dan mengambil kira persepsi orang ramai terhadap parti Pas itu sendiri, bukan main langgar dan hentam kromo ikut sedap pendapatnya.

Ringkasnya semua pimpinan Pas perlu menyuarakan pendapat mereka kepada umum setelah ia diakui oleh Parti sebagai pendapat Parti. Pemimpin yang memberikan kenyataan sebelum disetujui secara formal sebagai pendapat parti perlu diambil tindakan disiplin, sekurang-kurangnya presiden parti perlu melemparkan surat khabar yang memaparkan ucapan pemimpin tersebut ke mukanya untuk menunjukkan ketegasan.