Pages

Saturday, 10 October 2009

Singgah Sebentar Di Bagan Pinang


Semalam kawan ajak pergi makan malam di Bagan Pinang sambil melihat suasana pilihan raya kecil di sana. Kami bertolak agak lewat melalui jalan belakang Sepang ke Lukut dan sampai di sana lebih kurang pukul 11.30 malam.

Jalan dari Lukut ke Teluk Kemang penuh sesak dengan kereta akibat dibanjiri oleh orang luar seperti kami yang turut mahu melihat perkembangan PRK di situ. Nasib baik sampai di Lukut kami mengambil lebuh raya 80 sen dari Lukut terus ke Teluk Kemang.

Sampai di bulatan berhampiran Hospital kami berpatah balik naik ke atas semula menuju ke arah Lukut dan jalan yang kami ambil tak jem seperti jalan di sebalik sana.

Kami bergerak sepanjang jalan hingga ke kawasan pantai dan berhenti di satu kawasan yang terdapat beberapa kedai makan di seberang jalan.

Kami masuk ke dalam satu kedai makan yang sebelahnya terdapat perkhemahan jentera UmNo dari Kelantan. Kawan yang lain terus berjalan menuju masuk ke kedai.

Saya singgah sebentar berjalan masuk ke dalam kawasan khemah kerana melihat ada satu persembahan dikir barat yang dibawa khas dari negeri pantai timur.

Tak ramai sangat yang duduk di kerusi plastik yang disediakan di hadapan pentas, boleh kira jari. saya lantas duduk di salah satu kerusi dan menikmati persembahan  mereka yang mendendangkan lagu-lagu dikir barat sambil menyelitkan kempen pilihan raya.

Ini sesuatu yang agak unik dan baru bagi saya dalam kempen pilihan raya. Tak pasti pula jika terdapat penonton dari kalangan penduduk setempat di situ. Yang pastinya ia merupakan hiburan kepada mereka yang letih bekerja untuk parti dan sudah tentu ada imbuhan kepada kumpulan yang bermain dikir barat tersebut.

Bagus juga saya rasa mereka buat persembahan sebegitu daripada naik moto laju-laju pergi dan balik sambil mengacau lalu lintas atau mabuk-mabuk dan menyerang penyokong parti lawan.

Namun agak ralat sikit apabila ada dua atau tiga orang yang dah agak berumur yang bangun meluru ke pentas dan bergojet dengan asyik mengikut rentak setiap kali lagu didendangkan.

Dari gaya mereka berjoget, nampak macam amat biasa dengan aktiviti joget tersebut, memang kaki ronggeng jika dilihat dari hilangnya perasaan malu dan segan tergedik-gedik atas pentas.

Saya meninggalkan pentas menuju kedai makan untuk bersama dengan teman lain yang sedang tempa makanan.

Kawan saya beritahu semasa mereka berjalan hendak masuk ke kedai makan tadi mereka berselisih dengan 2 orang wanita berjalan kaki lalu di depan kedai. Salah seorang darinya membebel dengan berkata;

 "Dah tua nak mampuspun masih tak malu berjoget seperti orang gila"


Itulah bezanya UmNo dan PAS, dua budaya yang umpama minyak dan air.

Tuesday, 6 October 2009

Kelemahan Demokrasi - Tan Sri Isa


Ramai di kalangan penggiat politik di negara kita menggunakan saluran demokrasi dalam usaha mendapatkan kuasa memerintah.

Samada PR atau BN, masing-masing mengambil kaedah demokrasi ini dalam usaha merebut kuasa menerajui negara kita Malaysia.

Kedua-dua parti itu juga masing-masing menyatakan kecintaan mereka kepada ketelusan, keadilan, kemakmuran dan keamanan. Masing-masing mendakwa mereka membenci rasuah, membenci akhlak buruk, membencikan pemimpin yang korup dan tidak beretika dan lain-lain lagi perkara-perkara yang negatif.

Dalam kes parti UMNO yang baru-baru ini mencalonkan TanSri Isa sebagai wakil mereka di PRK Bagan Pinang, terdapat di kalangan pendokong UMNO yang tidak bersetuju termasuklah bekas perdana menteri kita Tun Mahadhir.

Alasannya adalah kerana Isa pernah terlibat dengan kes politik wang. Terdapat suara-suara yang melaungkan agar UMNO perlu berubah dan membersihkan para pemimpinnya dari mereka yang tidak beretika.

Namun apabila Isa masih dipilih ramai yang kecewa dan mengatakan UMNO susah mahu membuat perubahan jika mereka masih berdegil memilih orang yang pernah disabitkan kesalahan.

Alasan UMNO pula antaranya adalah Isa merupakan pilihan rakyat di kawasan Bagan Pinang, mereka terpaksa akur dengan prinsip demokrasi yang memihak kepada pihak majoriti. Lagipun UMNO perlu menang dalam PRK di Bagan Pinang ini.

Begitu juga parti PAS yang memperjuangkan Islam sebagai landasan politik mereka. PAS percaya hanya Islam yang dapat menyediakan satu landasan atau sistem yang telus dan adil, dan mereka juga menggunakan sistem demokrasi untuk meraih kuasa.

Dengan amalan demokrasi nampaknya, UMNO tewas dalam usaha mereka untuk memulihkan parti, majoriti penyokongnya tetap memejamkan mata dalam memilih calon mereka di Bagan Pinang walaupun segala nasihat yang bernas dan berguna diberikan oleh ramai orang termasuklah Tun Dr. Mahadhir.

Umum semua mengetahui bahawa fitrah manusia mengakui kebaikan samada mereka sendiri baik atau tidak (kecuali mereka yang ada masalah jiwa). Begitu juga umumnya orang Islam mengakui segala kebaikan yang dianjurkan oleh agama mereka.

Tapi umum juga mengetahui bahawa hanya segelintir yang mampu mengamalkannya samada dilihat dari prinsip kebaikan universal atau prinsip kebaikan Islam.

Untuk memenangkan kebaikan dalam demokrasi kita tidak dapat mengelak dari memastikan pihak majoriti merupakan mereka yang percaya dan juga dapat mengamalkan konsep kebaikan sejagat. Sudah pasti ini adalah sesuatu yang amat sukar jika kita menggunakan amalan demokrasi di mana semua orang layak membuat pilihan.

Kita akan terjerumus kepada pilihan yang sukar yang tidak dapat memenuhi kehendak kebaikan sejagat atau Islam. Ramai yang akan tergoda dengan kekayaan, kuasa, wanita dll dan mereka mudah di pesongkan. Inilah yang berlaku pada beberapa wakil PKR dan kepada perwakilan-perwakilan UMNO.

PAS pula berjaya meletakkan para pemimpinnya yang bersih, kerana para pengikutnya merupakan mereka yang rata-rata percaya dan dapat mengamalkan Islam (walaupun ada segelintir yang mungkin terbabas).

Tapi untuk menguasai seluruh negara, adalah sesuatu yang amat sukar jika kita menggunakan prinsip demokrasi, yang bathil sentiasa dapat menang, kerana itulah majoriti rakyat kita.

Saya berkata begitu berdasarkan fakta yang semua orang tahu, berapa kerat orang melayu yang rata-ratanya Islam tidak meninggalkan solat? Solat adalah perkara asas dalam Islam, apatah lagi jika kita bertanya terhadap amalan-amalan lain. Daripada kajian yang pernah dibuat, tak sampai 30% orang Islam yang bersolat 5 waktu.

Jika kita melihat sirah Nabi, demokrasi hanya untuk mereka yang beriman dan beramal manakala demokrasi diguna pakai dikalangan mereka hanya dalam hal-hal strategi.

Kalau Nabi gunakan demokrasi untuk memerintah alamat tak naiklah Islam di mukabumi ini.

Saya tidak mahu mengatakan yang kita perlu menggunakan kaedah kekerasan atau peperangan untuk berkuasa, tapi kita perlu mencari satu kaedah lain yang lebih sesuai dalam amalan demokrasi kita untuk meletakkan pemimpin.