Semalam hari jumaat saya bertolak dari Puchong menuju ke Melaka pada pukul 11.30 pagi. Saya bercadang untuk singgah solat jumaat di Masjid Bagan Pinang untuk melihat perkembangan bahang pilihan raya kecil yang bakal berlansung di situ.
Jarak dari Puchong ke Bagan Pinang adalah lebih kurang 80 kilometer dan jika kita mengambil jalan belakang menggunakan LDP menuju ke Bandar Baru Salak Tinggi kemudian ke Sepang, menuju ke Lukut dan seterusnya menuju ke Port Dikson kita akan sampai di Bagan Pinang dalam masa lebih kurang 1 jam atau kurang dari itu.
Saya sampai di Masjid Bagan Pinang lebih kurang pukul 12.30 tengahhari dan orang masih belum ramai pada waktu itu. Dapatlah saya mencari kawasan parkir kereta yang redup di bawah pokok di luar pagar Masjid dan berjalan melihat-lihat sekitar suasana d isitu.
Nampaknya benderan UMNO/BN dan PAS berkibar ditiup angin laut yang kencang. Saya rasa tiada bendera yang telah dipasang selain dari di kawasan masjid tersebut.
Di depan pagar masjid saya terlihat satu banner memberitahu kedatangan Menteri Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk satu majlis bersama rakyat pada hari jumaat 21/09/2009.
Bagus juga saya solat jumaat disitu, dapat melihat bagaimana sambutan majlis tersebut bersama pembesar-pembesar UMNO dan rakyat Bagan Pinang.
Khutbah pada hari tersebut tidak menyentuh apa-apa isu politik dan berjalan lancar. Imam juga hanya membaca surah yang pendek dalam solat dan kemudian orang ramai pun mula bersurai.
Saya berada di saf yang ketiga sebalah kanan Masjid dan melihat-lihat di mana kelibat orang-orang besar UMNO. Terpaksa mencari-cari juga kerana orang ramai macam buat tak perduli sangat dengan kehadiran para pemimpin mereka.
Kemudian saya terlihat kelibat seseorang yang agak rendah sedang disalam oleh 2 atau 3 orang. Dia memakai sampin kain pelikat dan berbaju melayu warna hijau telur angsa. Rupanya itulah Shafie Apdal, dia bersalam dan terus bangun untuk menunaikan solat sunat lepas jumaat. Bagus juga dia ni, kata saya dalam hati.
Saya perasan ada seorang lagi yang berpakaian baju melayu warna merah jambu lembut dan hanya berseluar panjang biasa berwarna hitam. Orangnya nampak sihat dan tinggi dan amat bersahaja macam orang muda pekan. Saya tak memperdulikannya lalu saya solat sunat.
Selesai solat sunat saya lihat di bawah kemah orang ramai mula berkumpul. Hanya terdapat satu kemah kecil di ruang parkir masjid yang saya agak boleh memuatkan dalam linkungan 50 orang.
Saya berada di tepi Masjid sambil melihat dengan minat gelagat semua orang di bawah khemah itu. Pemudan tadi yang berbaju merah jambu keluar dari masjid menuju ke bawah khemah dengan girang dan bersahaja, dia bersalam dengan semua orang dan terus mengambil kerusi plastik dan duduk dengan orang kampung di satu sudut sambil berborak rancak.
Kemudian Shafie Apdal datang dan bersalam dengan orang ramai. tiba saja di tempat orang muda pertengahan umur tadi berborak, saya lihat dia menepuk-nepuk bahu shafie apdal sambil berkata pada orang disitu yang ini adalah orang yang paling apdal sekali di malaysia.
Kemudia datang pula Isa Samad, bekas menteri besar N9, terkatit-katit bersalam dengan bertenaga sekali, nampaknya dia tak solat jumaat di masjid itu, pakaiannya pun macam ala-ala artis sikit dan bersantai. Dia nampaknya lebih rendah dari Shafie Apdal.
Dia bersalam dengan semua orang termasuk orang muda tadi. Rupanya orang tersebut adalah Menteri Besar N9 sekarang iaitu Mohamad Hasan.
Menarik juga pemandangan tersebut dari kaca mata orang luar, saya lihat itu satu perwatakan yang bagus bagi seorang menteri besar yang amat bersahaja dan mesra dengan rakyat.
Saya kemudian meneruskan perjalanan saya menuju ke Melaka melalui Teluk Kemang.
